Pages

Sunday, September 25, 2011

Palestin kemukakan permohonan keanggotaan PBB



TEBING BARAT - Puluhan ribu penduduk Palestin berhimpun di sini kelmarin untuk memberikan sokongan padu mereka kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas ketika beliau merayu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya meluluskan permohonan keanggotaan Palestin dalam badan dunia itu.
Ketika Mahmoud melambaikan salinan permohonan tersebut di podium PBB, puluhan ribu penduduk Palestin bersorak 'Tuhan Maha Besar!' dan ' Kami akan mempertahankan Palestin dengan darah dan jiwa kami!'
"Saya tidak percaya sesiapa yang memiliki kesedaran walaupun sedikit, sanggup menolak permohonan kami dan penyertaan kami sebagai sebuah negara merdeka," kata Abbas pada Perhimpunan Agung PBB di New York kelmarin.
Beliau secara rasminya menyerahkan permohonan untuk Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB kepada Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki-moon.
Namun begitu, Amerika Syarikat (AS) berikrar menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang cubaan Palestin itu dengan alasan kemerdekaan dan keamanan Palestin hanya boleh dicapai menerusi rundingan langsung antara Palestin dan Israel.
AS dan Kesatuan Eropah sebaliknya menggesa Palestin dan Israel supaya menghidupkan semula rundingan damai dalam tempoh sebulan dan komited untuk mencapai persetujuan damai menjelang penghujung 2012.
Majlis Keselamatan PBB akan membincangkan berhubung permohonan PBB itu esok sebelum ia diluluskan untuk sesi pengundian para anggota PBB pada Perhimpunan Agung badan dunia itu. - AFP

No comments: