NEW YORK 28 Dis. – Ribut salji kuat yang melanda pantai timur Amerika Syarikat (AS) kini menuju Kanada ketika angin kuat dan salji tebal terus mengakibatkan kedaan huru-hara di wilayah ini dengan kebanyakan pengangkutan udara dan lalu lintas masih terganggu.
Ribut yang melanda awal pagi kelmarin mula reda semalam, apabila langit biru mula kelihatan, sekali gus menyaksikan keadaan lebuh raya yang lengang, kereta-kereta yang terkandas dan pengangkutan awam yang terjejas akibat diselaputi salji tebal di wilayah ini.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan telah menarik balik amaran ribut salji di pantai timur AS dan melaporkan ribut itu kini menuju Kanada dengan membawa salji tebal serta angin kencang ke pantai Atlantik.
Lebih 5,000 penerbangan dibatalkan semalam apabila angin kencang selaju 150 kilometer melanda sepanjang Carolina Utara hingga Maine.
Ribut kuat turut menyebabkan beratus-ratus bandar, pekan, lebuh raya dan jambatan lumpuh apabila hanya salji boleh dilihat di mana-mana.
Krew penyelamat berjaya menyelamatkan beratus-ratus pemandu kenderaan yang terkandas akibat salji tebal dan beratus-ratus penumpang kereta api bawah tanah di New York City selepas terpaksa bermalam di dalam pengangkutan awam itu yang tidak dapat beroperasi ekoran cuaca sejuk.
Ribut turut membawa salji setebal 80 sentimeter di beberapa bahagian New Jersey dan kira-kira 50 sentimeter di Central Park, New York City.
Di pusat bandar metropolitan New York, urusan perniagaan, operasi dewan bandar raya dan aktiviti seharian kembali berjalan seperti biasa hari ini selepas hampir 24 jam terganggu, sementara tiga lapangan terbang terbesar dibuka semula.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan berkata, Lapangan Terbang La Guardia dibuka lewat petang semalam, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy dan Lapangan Terbang Antarabangsa Newark di New Jersey.
Namun, kelewatan penerbangan tetap dijangka selepas beribu-ribu penerbangan terpaksa dibatalkan sejak beberapa hari lalu. – AFP
No comments:
Post a Comment