Pages

Monday, September 20, 2010

Serangan dekat masjid, dua warga asing cedera


NEW DELHI 19 Sept. - Dua warga asing cedera parah selepas sekumpulan lelaki tidak dikenali melepaskan tembakan berhampiran masjid utama di sini hari ini, lapor stesen televisyen, CNN-IBN.
Insiden itu berlaku hanya dua minggu sebelum berlangsungnya Sukan Komanwel yang akan diadakan di ibu negara India ini.
Tahap keselamatan di New Delhi kini ditingkatkan dengan pihak berkuasa lebih berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya serangan kumpulan militan yang telah membunuh ramai orang awam sejak beberapa tahun lalu.
Sementara itu, keadaan kedua-dua warga asing tersebut masih belum diketahui dan CNN-IBN melaporkan mereka merupakan warga Taiwan.
Polis mengesahkan terdapat insiden tembak-menembak tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
"Terdapat kejadian tembakan di pintu nombor tiga, Masjid Jama menyebabkan dua orang cedera parah.
"Namun, kami masih belum dapat mengesahkan sama ada ia adalah serangan daripada kumpulan militan ataupun tidak," kata jurucakap polis, Rajan Bhagat kepada pemberita, di sini hari ini. - REUTERS

No comments: