Pages

Tuesday, July 20, 2010

Kaca terbenam dalam kepala

15/7
Serpihan tertinggal ketika dibedah
KUANTAN: Seorang lelaki tidak menyangka sakit kepala dialaminya hampir setiap bulan sejak tiga tahun lalu, berpunca daripada serpihan kaca yang terbenam dalam kulit kepalanya akibat kemalangan pada 2007.
Abdul Samad Shafie, 35, dari Kampung Luit, Maran hanya menyedari terdapat beberapa serpihan kaca di kepalanya selepas terhantuk ketika hendak masuk ke dalam kereta, kira-kira dua minggu lalu.
Selepas kepala saya terhantuk, saya berasa sakit dan mendapati ada kesan darah.
Bagaimanapun, saya tidak begitu mempedulikannya kerana menyangka ia perkara biasa, tetapi sejak empat hari lalu, bahagian yang terhantuk itu membengkak dan apabila diteliti didapati ada seperti benda tajam tertusuk keluar, katanya ditemui di sini, semalam.
Katanya, selepas diamati dengan teliti barulah beliau dapati ada beberapa serpihan kaca tertanam di kepalanya.
Abdul Samad yang bekerja sebagai pemandu jentera pengangkut balak di Jalan Gambang berkata, beliau mengesyaki serpihan kaca itu tertinggal di dalam kulit kepalanya selepas menjalani pembedahan, selepas terbabit dalam kemalangan kira-kira tiga tahun lalu.
Saya terbabit dalam kemalangan ketika memandu di Jalan Teluk Sisek, Kuantan menyebabkan cermin hadapan kereta pecah dan serpihannya terkena muka saya, katanya.
Selepas kejadian itu, saya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan diberi rawatan kecemasan serta menjalani pembedahan kecil pada bahagian muka manakala kulit kepala saya yang terkoyak menerima kira-kira 60 jahitan, katanya.
Beliau berkata selepas pembedahan itu, bahagian kepalanya yang cedera mengalami bengkak tetapi doktor yang merawatnya mengatakan lama-kelamaan ia akan surut.
Abdul Samad berkata, beliau sama sekali tidak menyangka serpihan kaca berada di dalam kulit kepalanya sehingga kejadian dua minggu lalu.
Katanya, beliau pergi ke HTAA pada Jumaat lalu untuk mendapatkan pengesahan mengenai serpihan kaca di kepalanya tetapi diminta datang semula bagi pemeriksaan doktor yang pernah merawatnya hari ini.
Sehubungan itu, mereka meminta saya pergi semula ke HTAA hari ini untuk dilakukan pemeriksaan sekali lagi, katanya yang kesal kerana pihak hospital seolah-olah melengahkan tindakan untuk merawatnya sedangkan ia berlaku akibat kecuaian doktor.
Sumber : Bharian.com.my

No comments: