Pages

Friday, July 22, 2011

Patah kaki kena rempuh

HULU SELANGOR: “Jika bukan kerana raga dipenuhi durian menghalang rempuhan kali kedua, saya mungkin maut digilis kereta dipandu suspek,” kata anggota penguat kuasa Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), G Sivarajah, 24 yang patah kaki kiri selepas dirempuh kereta seorang penjual durian yang tiba-tiba mengamuk apabila barangan jualannya dirampas dalam Operasi Sita di sini, kelmarin.

Menurut Sivarajah, selepas rempuhan pertama, dia sempat melihat kereta dipandu lelaki berusia 53 tahun itu mengundur sebelum memecut laju ke arahnya yang terbaring di atas jalan.


“Bagaimanapun, raga dipenuhi durian di depan saya menghalang kenderaan berkenaan. Rakan lain yang menyaksikan kejadian itu segera menghalang suspek. “Saya pengsan dan hanya tersedar sebaik tiba di Hospital Kuala Kubu Baru (KKB) sebelum dipindahkan ke Hospital Damai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sivarajah yang bertugas sebagai anggota penguat kuasa sejak dua tahun lalu berkata, dia bersama 35 rakan termasuk pegawai menjalankan operasi memindahkan halangan dan menyita barangan penjaja haram di kawasan tempat letak kenderaan di Batang Kali, di sini.


“Ketika itu, seorang daripada penjaja haram itu tiba-tiba memarahinya dan rakan lain sebelum bergegas masuk ke dalam kereta Proton Wira berhampiran kawasan berkenaan.


“Saya dan rakan lain menyangka suspek hendak meninggalkan kawasan berkenaan, namun lelaki terbabit cuba merempuh kami,” katanya.

Difahamkan, rakannya yang lain cuba memberi amaran kepada Sivarajah dan Mohammad Azlan Mahmud, 34, namun disebabkan kejadian itu terlalu pantas dia gagal mengelak.

Sivarajah berkata, hanya Mohammad Azlan sempat mengelak sebelum rempuhan kuat itu menyebabkannya terpelanting ke jalan.

“Saya cuba bangun, namun tidak berdaya sebelum pengsan,” katanya yang baru selesai menjalani pembedahan akibat darah beku pada tempurung lututnya semalam.


Katanya, biarpun kejadian itu pengalaman ngeri, namun dia tidak akan serik menjalankan tugasnya selepas sembuh nanti. Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan MDHS, Junainah Abdullah berkata, pihaknya mengeluarkan notis kepada penjaja di kawasan berkenaan sebelum operasi dijalankan.


“Namun, kebanyakan penjaja berdegil dan meneruskan perniagaan walaupun beberapa kali disita, Kami juga mengeluarkan lesen bersyarat, tetapi masih ada yang melanggar peraturan,” katanya.


“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai lesen yang sah menyebabkan kami menyita barangannya, tetapi mungkin dia marah dan bertindak sedemikian,” katanya.


Menurutnya, pihaknya sudah membuat tiga laporan berhubung kejadian itu dan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak polis. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan suspek ditahan reman sehingga 24 Julai mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

myMetro | Patah kaki kena rempuh

No comments: