Pages

Friday, July 22, 2011

Wanita Saudi akan dibicara sebab memandu

RIYADH: Seorang wanita Arab Saudi akan dibicarakan kerana memandu keretanya sendiri, lapor akhbar Okaz kelmarin.

Wanita berusia 35 tahun yang ditahan di Jeddah itu bagaimanapun berkata beliau memandu kerana berlaku kecemasan.

Akhbar itu menukil wanita itu sebagai berkata beliau mengalami pendarahan.

Disebabkan 'tiada pengangkutan awam' dan pemandu lain, beliau terpaksa memandu sendiri ke hospital. Wanita itu kini telah dibebaskan selepas diikat jamin oleh bapanya.

Arab Saudi adalah satu-satunya negara di dunia yang melarang kaum wanita memandu.

Pada 17 Jun lalu, sekumpulan wanita telah memandu kereta mereka sendiri bagi memulakan gerakan menentang larangan itu.

Gerakan itu dimulakan di laman sosial Facebook dan Twitter, dan adalah bantahan terbesar sejak November 1990 apabila 47 wanita Arab Saudi ditahan selepas memandu kereta.

Sebelum ini, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, melahirkan sokongan terhadap kempen itu sambil menyifatkan 'apa yang dilakukan oleh wanita-wanita ini satu tindakan berani dan apa yang mereka tuntut adalah betul'.

Ikon gerakan itu ialah Cik Manal al-Sharif, 32 tahun, yang ditahan pada 22 Mei lalu selepas memuat naik rakaman video yang menunjukkan beliau memandu keretanya sendiri di bandar timur Khobar.

Cik Manal telah ditahan selama 10 hari sebelum dibebaskan.

Minggu lalu, pihak berkuasa Arab Saudi menahan dua wanita kerana memandu kereta tetapi kemudian membebaskan mereka selepas mereka menandatangani ikrar tidak mengulangi perbuatan itu. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

No comments: