Pages

Friday, July 22, 2011

Lelaki yang didakwa pengikut ajaran Osama

SEBAT MUALAF YANG MINUM ARAK
SYDNEY: Lelaki Australia yang didakwa kerana menyebat seorang mualaf kerana minum alkohol dilaporkan pernah memuji Osama bin Laden sebagai 'askar Tuhan'.

Wassim Fayad, 43 tahun, adalah antara empat lelaki yang memecah masuk ke rumah Encik Christian Martinez di Sydney Ahad lalu dan menghukum lelaki tersebut kerana melanggar undang-undang syariah.

Fayad didakwa memecah masuk rumah, menahan mangsa dengan tujuan mengambil kesempatan ke atasnya dan dua dakwaan mencuri Rabu lalu.

Menurut polis, Fayad mencuri arak dan pemacu liat yang mengandungi rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah Encik Martinez semasa kumpulan itu memecah masuk rumah beliau.

Akhbar Sydney Morning Herald semalam melaporkan Fayad merupakan pengikut ajaran Osama, pemimpin Al-Qaeda yang telah dibunuh oleh pasukan Amerika pada Mei lalu.

Dia menyifatkan Osama sebagai 'askar Tuhan' yang telah mati syahid dan 'kini di syurga'.

Sementara itu, Encik Martinez berkata beliau telah memeluk agama Islam tiga tahun lalu dan salah seorang lelaki yang menyerangnya telah membantunya menjadi seorang Muslim.

'Saya mempunyai masalah dengan ketagihan arak yang sedang saya cuba atasi. Saya sedang minum arak di rumah bersama seorang kawan pada pagi hari kejadian,' kata Encik Martinez, 31 tahun.

Menurut Encik Martinez, beliau pada mulanya menyangka kumpulan itu berjenaka apabila mereka memaklumkan bahawa beliau akan disebat 40 kali kerana minum arak.

'Tetapi sebaik saja mereka memegang saya dan letakkan saya atas katil, saya tahu mereka serius. Mereka mula menyebat saya. Saya menangis dan memekik kerana rasa terlalu sakit,' kata Encik Martinez.

Walaupun beliau rasa amat marah, Encik Martinez menegaskan Islam adalah agama yang indah dan beliau menerima sokongan daripada masyarakat Islam.

Seorang lagi lelaki, Tolga Cifci, 20 tahun, turut didakwa atas kejadian itu dan polis sedang memburu dua lagi suspek.

Kes itu telah mencetuskan kecaman di Australia, dengan Perdana Menteri, Cik Julia Gillard, mengutuk serangan itu.

'Hanya ada satu saja undang-undang di negara ini, undang-undang Australia,' katanya. -- Agensi.



Cyberita Online Luar Negara

No comments: