Pages

Friday, July 22, 2011

Guna buku seludup syabu



 LIAH (kiri) menunjukkan rampasan dadah yang disorok dalam buku pada sidang media di pejabatnya di Nilai, semalam.
LIAH (kiri) menunjukkan rampasan dadah yang disorok dalam buku pada sidang media di pejabatnya di Nilai, semalam.

Kastam tahan warga Nigeria, rampas 8 kilogram dadah

NILAI: Cawangan Narkotik Kastam Diraja Malaysia menahan seorang lelaki warga Nigeria selepas menemui dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM2 juta yang disembunyikan dalam enam buku di bagasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang di sini, malam kelmarin.
Lelaki berusia 25 tahun yang menaiki penerbangan dari Lagos dan transit di Dubai sebelum tiba di KLIA, turut berlagak alim untuk mengelirukan pihak berkuasa dengan memegang sebuah kitab agama di tangannya.
Timbalan Pengarah Kastam Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Liah Omar, berkata lelaki terbabit ditahan pada jam 11.53 malam apabila hasil imbasan mesin pengimbas terhadap bagasinya menunjukkan imej mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan rapi terhadap bagasi menemui enam buku tebal dengan setiap helaian muka surat sukar diselak.

Antara buku yang dibawa lelaki terbabit yang mendakwa dirinya pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara, termasuk autobiografi bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton, bertajuk My Life.

Lima buku lain adalah dua kamus dan masing-masing sebuah buku motivasi, kesihatan dan agama.
“Kami mendapati buku terbabit ditebuk di bahagian tengah dan digam dengan rapi. Selepas dikoyak helaian muka suratnya, ditemui bahan kristal jernih dalam semua buku itu.

“Ujian awal mendapati bahan itu positif dadah jenis syabu seberat kira-kira lapan kilogram,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Liah berkata, lelaki terbabit didapati memasuki negara ini sebanyak empat kali sejak 2008 kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

Beliau juga meminta orang ramai memberi maklumat penyeludupan dan yang berkaitan dadah kepada pihaknya melalui talian bebas jabatan 1-800-88-8855 atau talian terus pejabat Cawangan Narkotik, 06-7917792 atau 06-7917587 atau pejabat kastam terdekat.

Katanya, ganjaran akan diberikan kepada maklumat yang membawa kepada rampasan dan tangkapan.
Berita Harian Online | Guna buku seludup syabu

No comments: