Pages

Tuesday, September 4, 2012

Pendirian sepi Suu Kyi bela nasib Rohingya amat dikesali



SIKAP ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang mengunci mulut daripada mengeluarkan kenyataan berhubung nasib penduduk Rohingya yang beragama Islam, mencetuskan persoalan banyak pihak.
Tindakan membisu pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu turut menggambarkan kegagalannya sebagai ikon demokrasi paling dihormati di dunia.
Ketika beribu-ribu penduduk Rohingya di negeri Rakhine di barat Myanmar dibunuh dan ditindas sejak berdekad-dekad lalu, ditambah dengan berpuluh ribu lagi menjadi pelarian, dunia kini menantikan suara dari dalam Myanmar sendiri, terutama daripada Suu Kyi yang boleh mewakili etnik minoriti itu.
Penganalisis menyifatkan keengganan ikon wanita tersebut membela nasib etnik Rohingya didorong oleh pelbagai faktor termasuk bimbang akan dipulaukan oleh sekutu-sekutu politiknya yang tidak menyatakan sokongan terhadap etnik Islam berkenaan.
Suu Kyi yang pernah menjalani tempoh tahanan penjara dan tahanan di rumah selama dua dekad, kini kembali aktif dalam politik Myanmar.
Majoriti pengundi Buddha di Myanmar yang kuat menyokong beliau, mungkin menjadi antara faktor utama mengapa Suu Kyi mendiamkan diri daripada menyuarakan nasib etnik Rohingya.
Lebih-lebih lagi, rusuhan di negeri yang pernah dikenali sebagai Arakan itu suatu ketika dahulu antara etnik Rohingya dengan majoriti penduduk Rakhine yang beragama Buddha, menjadi pertaruhan yang perlu diberi pandangan oleh beliau.
Suu Kyi sedar beliau tidak akan mendapat apa-apa keuntungan jika membuka mulut membela Rohingya.
Isu penindasan serta kekejaman yang dialami penduduk Islam itu juga, sudah banyak kali dibangkitkan oleh pegawai-pegawai di Yangon, terutamanya selepas Suu Kyi mempengerusikan satu jawatankuasa yang bertanggungjawab ke atas peraturan keamanan serta keselamatan.
Namun, sehingga kini, tiada sebarang tindakan diambil bagi menanganinya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau berbuat demikian kerana terlalu berhati-hati mengatur perjalanan politiknya, bimbang 'usia politik' beliau yang baru berusia setahun jagung selepas menjalani pelbagai 'ranjau dan duri' tidak akan membuahkan hasil seperti yang beliau rencanakan.
Daripada segi lain, Suu Kyi sedar beliau tidak akan mendapat sebarang faedah politik, sekiranya beliau berani mengeluarkan kenyataan membela masa depan etnik Rohingya.
Sebagai seorang pemimpin dunia yang tidak pernah kenal erti jemu dalam memperjuangkan demokrasi, Suu Kyi juga sedar beliau mempunyai pengikut yang bukan sedikit dan tidak bersedia untuk melihat sokongan mereka kepadanya merosot jika beliau membela etnik Rohingya.
Tindakan Suu Kyi membisu seribu bahasa itu, bukan sahaja dikesali tetapi juga menandakan harapan untuk melihat nasib etnik Rohingya mendapat pembelaan daripada pemimpin Myanmar sendiri sebagai gelap.
Jawapan beliau 'Saya tidak tahu' ketika diajukan soalan oleh pemberita di Dublin semasa lawatannya ke Eropah Jun lalu, tentang sama ada etnik Rohingnya perlu diberi kewarganegaraan, menunjukkan dengan jelas Suu Kyi langsung tidak peduli dengan nasib yang menimpa etnik berkenaan.
Selepas sandaran yang diletakkan di bahu Suu Kyi untuk membela nasib etnik Rohingya tidak menampakkan sebarang hasil, apakah lagi jalan yang boleh diharapkan oleh kumpulan itu untuk membawa mereka keluar daripada penindasan oleh kerajaan Myanmar?

2 comments:

Siti Rokiah Siwok said...

Assalmualaikum wrwbt,
Setinggi mana pun sanjungan, selama mana pun perjuangan, akan berlaku ketidakadilan jika tidak mengikut neraca Islam.
Terima kasih

Abu Hatim said...

WAALAIKUMMUSSALAM, SAMA-SAMA KASIH...