Pages

Tuesday, September 4, 2012

Kubu awam dibom




         
DAMSYIK: Sebuah pesawat perang Syria mengebom satu bangunan bandar al-Bab yang dikuasai penentang kerajaan, membunuh 18 orang, kata Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia, semalam.

Pengarah pertubuhan berpangkalan di Britain itu berkata, Rami Abdel Rahman, sekurang-kurangnya 10 lelaki, enam wanita dan sepasang kanak-kanak menjadi mangsa serangan berkenaan.


“Mereka terbunuh apabila jet tentera mengebom bangunan yang menjadi tempat mereka berlindung,” katanya.

Menurut Rami, tentera turut mengebom beberapa daerah berhampiran Aleppo.


Insiden semalam berlaku lebih dari enam minggu selepas bermulanya kempen digelar Presiden Bashar al-Assad sebagai “ibu segala perang” di negara itu.


Serangan udara di al-Bab menjadi rentetan siri serangan ke atas bandar dan kampung di Aleppo ketika rejim Bashar cuba memutuskan laluan bekalan untuk pembangkang di bandar berkenaan. Pertubuhan itu mendakwa, sekurang-kurangnya seramai 132 orang dilaporkan terbunuh di seluruh Syria pada Ahad, membabitkan 96 orang awam, sembilan pejuang pembangkang dan 27 tentera kerajaan.

Sementara itu, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menggesa komuniti antarabangsa “melaksanakan tanggungjawab dan mengambil langkah perlu melindungi orang awam” di Syria.


Kenyataan itu dibuat selepas pemimpin negara anggota GCC - membabitkan Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Oman, Qatar dan Kuwait berunding di Jeddah. - AFP

No comments: