Pages

Tuesday, September 4, 2012

Kenderaan konsul AS diserang di Pakistan



BEBERAPA anggota penyelamat memeriksa sebuah kenderaan yang rosak akibat serangan 
menyasarkan kakitangan Pejabat Konsul Amerika Syarikat di Peshawar semalam.



PESHAWAR - Seorang pengebom berani mati yang menaiki sebuah kereta menyasarkan sebuah kenderaan Pejabat Konsul Amerika Syarikat (AS) di Pakistan semalam dalam serangan yang menyebabkan empat orang terbunuh.
Namun, terdapat beberapa kenyataan bercanggah sama ada warga AS merupakan antara mangsa yang maut.
Serangan nekad itu berlaku dekat kuarters Pejabat Konsul AS berhampiran pejabat Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) di bandar raya Peshawar, barat daya Pakistan ketika waktu puncak pagi semalam.
Menteri Maklumat wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Mian Iftikhar Hussain berkata, empat orang maut dalam serangan berani tersebut dengan dua mangsa merupakan rakyat AS.
Apabila diberitahu bahawa Washington telah menafikan kakitangan konsulnya terbunuh dalam serangan itu, Iftikhar Mian berkata: "Apa yang boleh saya buat jika mereka menafikannya? Polis memberitahu saya dua yang terbunuh itu adalah diplomat AS".
Namun, kejadian tersebut disahkan oleh Jabatan Negara AS tetapi ia menyatakan empat orang cedera dan tiada staf pejabat konsul terbunuh dalam serangan pengganas itu.
Jurucakap jabatan berkenaan, Victoria Nuland berkata, dua kakitangan AS dan dua warga Pakistan yang bekerja untuk pejabat konsul tersebut kini dirawat kerana mengalami kecederaan manakala pihak AS sedang mengumpulkan butiran lanjut tentang beberapa mangsa lain. - AFP

No comments: