Letupan bom berkembar di kawasan tentera Syria
Satu letupan bom kereta berhampiran masjid Sbeneh berlaku menyebabkan seramai 15 orang terbunuh
DAMSYIK - Seramai enam orang parah selepas penyerang melancarkan serangan bom berkembar di ibu negara berhampiran kem tentera, kelmarin susulan letupan bom yang mengorbankan empat pegawai atasan keselamatan, baru-baru ini.
Menurut polis, penyerang dipercayai menyasarkan bangunan keselamatan di daerah Abu Rummana berhampiran kawasan perumahan kem tentera dan ibu pejabat tentera udara Dataran Umayyad.
"Kesemua yang cedera adalah petugas televisyen Syria yang dua daripadanya dilaporkan dalam keadaan kritikal," kata polis.
Satu rakaman video aktivis menyiarkan kepulan asap tebal menyelubungi daerah berkenaan yang dipercayai turut melibatkan beberapa kediaman kedutaan.
"Penyerang meletupkan dua bom di Jalan Al-Mehdi dalam daerah Abu Rummana," lapor televisyen tempatan.
Lokasi serangan itu menempatkan beberapa bangunan keselamatan termasuk pejabat Timbalan Presiden, Faruq Al-Shara.
Sementara itu pada hari yang sama, satu letupan bom kereta berhampiran masjid Sbeneh berlaku menyebabkan seramai 15 orang terbunuh.
Sbeneh merupakan sebuah daerah yang dihuni penduduk miskin, tetapi memiliki sentimen antikerajaan yang kuat.
Tabung Darurat bagi Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) melaporkan hampir 1,600 orang terbunuh pada minggu lalu dan aktivis menyelar tindakan tentera kerajaan yang melancarkan kempen serang balas dan menyebabkan jumlah korban tidak berdosa meningkat.