Pages

Tuesday, July 19, 2011

Mahkamah tolak tukar status jantina


pix_gal0
Tiada undang-undang ubah nama dalam MyKad


KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menolak permohonan seorang lelaki menukar nama dalam MyKad dan sijil kelahiran kepada nama wanita selepas menjalani pembedahan menukar jantina dua tahun lalu.
Ketika membacakan keputusannya, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, berkata permohonan Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, (gambar) yang mahu menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz ditolak selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin ketika pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.
Mohd Ashraf Hafiz yang membuat permohonan itu pada 25 Mei lalu, membuat pembedahan menukar jantina di Hatyai, Thailand pada 2009 selepas disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.

Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita dengan status lelakinya.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari sini bagaimanapun tidak hadir di mahkamah dan hanya diwakili peguamnya, Horley Isaachs.

“Selepas kes ini diperhalusi dan diteliti daripada semua aspek dan mengambil kira implikasi kepada masyarakat, mahkamah menolak permohonan pemohon.
“Mahkamah juga tidak mempunyai kuasa membuat perisytiharan deklarasi bersabit penukaran gender (jantina) dan tiada sebarang peruntukan undang-undang dalam negara ini yang membenarkan permohonan pemohon menukar status jantina dalam MyKad dan dalam dokumen pengenalan diri lain pemohon.

“Jantina seseorang ditentukan ketika lahir, jadi Mohd Ashraf Hafiz dilahirkan seperti dinyatakan dalam sijil kelahiran. Berdasarkan hakikat ini, saya dapati tiada kecacatan dalam maklumat dinyatakan dalam sijil kelahiran pemohon,” katanya.

Mohd Yazid berkata, keputusan mahkamah menolak permohonan itu juga kerana mengambil kira hujah Peguam Kanan Persekutuan, Aida Adha Abu Bakar yang mewakili Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, yang berjaya meyakinkan mahkamah bahawa permohonan berkenaan tidak wajar diluluskan kerana pemohon bukan wanita tulen.

Beliau berkata, walaupun pemohon menjalani pembedahan tukar jantina, perkara itu tidak boleh dijadikan hujah untuk mendapatkan kebenaran mahkamah. Berita Harian Online | Mahkamah tolak tukar status jantina

No comments: