Pages

Tuesday, July 19, 2011

Bayi lelaki ditinggalkan depan rumah pegawai tadbir




Inspektor Wan Nazifah Nawan dan seorang kakitangan hospital bersama bayi lelaki yang kini ditempatkan di hospital di Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 18 Julai - Seorang wanita di Kampung Hilir Masjid, Kota dekat sini terkejut apabila menemui seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di hadapan rumahnya pada petang Jumaat lalu.
Bayi seberat 4.8 kilogram dipercayai berusia dua bulan itu berpakaian lengkap dan dibalut dengan tuala ditemui di tangga di rumah pegawai tadbir berusia 54 tahun itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, selepas diambil wanita itu menyerahkan bayi itu kepada adiknya seorang guru di Kuala Krai.
Beliau berkata, bagaimanapun semalam, wanita yang menemui bayi itu telah pergi ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendaftarkan bayi tersebut sebagai anak angkat.
"Pegawai JKM terbabit memaklumkan pihaknya tidak boleh memproses permohonan tersebut dan perlu membuat laporan polis terlebih dahulu. Wanita itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu pada pukul 6.05 petang semalam.
"Ekoran itu, polis telah mengambil bayi tersebut dan ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk pemeriksaan kesihatan dan mengambil sampel darah bagi mengesan ibu bapanya," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Azham memberitahu, bayi tersebut dipercayai berketurunan Melayu berdasarkan warna kulit dan rupa parasnya.
Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk usaha untuk mengesan ibu bapa bayi terbabit.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

No comments: