Pages

Tuesday, July 19, 2011

Kementerian Kesihatan Mesir nafi Mubarak koma

KAHERAH: Kementerian Kesihatan Mesir, kelmarin menafikan laporan bahawa bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak berada dalam koma, dua minggu sebelum beliau dijadualkan menjalani perbicaraan kerana pembunuhan dan rasuah.

“Bekas presiden berada dalam koma selepas kesihatannya tiba-tiba merudum,” kata stesen televisyen yang memetik peguam Mubarak sebagai berkata.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan, Adel Adawi menafikan pemimpin 83 tahun yang digulingkan itu koma.
“Bekas presiden dalam keadaan stabil dan masih dirawat di biliknya di tingkat tiga Hospital Antarabangsa Sharm el-Sheikh,” kata Adawi memberitahu agensi berita MENA.

Sebelum ini, pengarah hospital di resort Laut Merah di mana Mubarak dirawat sejak April menafikan yang bekas orang kuat itu berada dalam koma, lapor televisyen negeri.

Tetapi, satu lagi sumber perubatan yang kurang jelas memberitahu AFP: “Ia kelihatan seperti kemerosotan kesihatan bekas pemimpin itu, tetapi laporan bahawa beliau koma masih belum jelas”.

Mubarak berada di hospital Sharm el-Sheikh sejak serangan jantung ketika disoal siasat atas dakwaan penipuan dan pembunuhan penunjuk perasaan ketika kebangkitan yang berjaya menggulingkannya pada 11 Februari.
Bulan lalu, peguam Mubarak Farid al-Dib, berkata bekas presiden itu menghidap barah gastrik dan ketumbuhan itu semakin membesar. Bagaimanapun, pegawai kementerian kesihatan berkata tiada bukti dakwaan itu.

“Menteri kesihatan tidak mempunyai dokumen saintifik mengatakan yang Mubarak menghidap barah,” kata pembantu kepada Menteri Kesihatan, Abdelhamid Abaza yang dipetik akhbar Al-Ahram dan Al-Masry Al-Youm.

Pada Mac 2010, Mubarak ke Jerman untuk melakukan pembedahan. Doktor berkata, pada ketika itu, beliau menghidap calculus cholecystitis kronik, radang pundi hempedu dan ketumbuhan. – AFP
Berita Harian Online | Kementerian Kesihatan Mesir nafi Mubarak koma

No comments: