Pages

Tuesday, July 19, 2011

Pendatang sarat hamil ditahan

Lapan sekeluarga ditahan ketika cuba keluar secara haram dari Johor

PONTIAN: Cubaan lapan pendatang haram Indonesia untuk pulang meraikan Ramadan dan Aidilfitri di negara asal tidak kesampaian, apabila bot mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhampiran Jeti Tanjung Kupang dekat Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 4.40 pagi itu, semua pendatang haram terbabit bersama seorang tekong dan pembantunya dikesan menaiki bot kayu dalam keadaan mencurigakan oleh anggota Bot Kilat 12 APMM yang sedang melakukan rondaan.
Ketua Penguat kuasa APMM Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar, berkata ketika dihampiri, bot terbabit memecut laju bagi mengelak ditahan, namun kami berjaya memintas dalam masa lima minit di perairan berhampiran Jeti Tanjung Kupang.

Katanya, pemeriksaan mendapati tekong bot bersama pembantunya itu cuba menyeludup keluarga lapan pendatang Indonesia termasuk dua wanita berusia 19 hingga 46 tahun. Seorang wanita yang ditahan itu dikesan sarat mengandung tujuh bulan.

"Pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan difahamkan masing-masing membayar RM450 seorang untuk menggunakan perkhidmatan tekong terbabit bagi membawa mereka keluar dari negara ini secara haram menuju ke Tanjung Balai, Indonesia," katanya di sini, semalam.

Selain tangkapan 10 warga Indonesia terbabit, APMM turut merampas bot kayu berukuran lapan meter panjang yang dilengkapi enjin sangkut jenis Yamaha 40 kuasa kuda.
Zulkifli berkata, semua warga asing yang ditahan termasuk tekong dan pembantunya itu dibawa ke Ibu Pejabat APMM Wilayah Maritim Selatan untuk siasatan lanjut.

Katanya, semua pendatang terbabit disiasat mengikut Seksyen 5(1)(2) Akta Imigresen 1959/1963 serta Akta Pemerdagangan Orang Pindaan 2010 iaitu keluar/masuk Malaysia melalui pangkalan tidak diwartakan.
Berita Harian Online | Pendatang sarat hamil ditahan

No comments: