PALESTIN
THE HAGUE - Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilihat gagal memberi keadilan kepada semua pihak selepas dengan sengaja menolak tuntutan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mahu tribunal jenayah perang menyiasat kekejaman rejim Zionis di Genting Gaza.

Keputusan berat sebelah itu kononnya, terpaksa diambil hanya kerana Palestin tidak diiktiraf sebagai negara yang sah, walaupun tuntutan untuk mendapat keanggotaan penuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mendapat sokongan 139 negara dan organisasi
antarabangsa.

Jurucakap pejabat pendakwa raya, menyatakan mahkamah tidak boleh membuat keputusan berdasarkan bidang kuasa sejagat kerana sesuatu kes hanya boleh dibuka jika dituntut oleh Majlis Keselamatan PBB atau negara yang diiktiraf.

Difahamkan, PA meminta ketua pendakwa raya, Moreno-Ocampo campur tangan berhubung konflik di negara tersebut dengan mengemukakan dokumen mengandungi butiran kekejaman Israel di wilayah Palestin sejak tahun 2002, tetapi usaha itu seakan sia-sia kerana keputusan itu.