Pemberontak isytihar kemerdekaan Azawad, utara Mali
GAO - Sebuah kumpulan pemberontak di utara Mali mengisytiharkan kemerdekaan wilayah yang dikenali sebagai Azawad, susulan kejayaan menguasainya, akhir bulan lalu.

Pergerakan Kebangsaan Bagi Kemerdekaan  Azawad (MNLA) membuat pengumuman itu menerusi laman webnya hari ini. MNLA juga menambah ia akan menghormati sempadan negeri-negeri lain.

MNLA merupakan salah satu daripada dua kumpulan pemberontak yang bertapak di utara Mali selepas kerajaan negara itu digulingkan.

“Bagi pihak rakyat Azawad yang bebas dan selepas perbincangan jawatankuasa eksekutif, majlis revolusi, majlis perundingan, pejabat-pejabat kawasan, ketua staf Tentera Kemerdekaan Kebangsaan, kami mengisytiharkan kemerdekaan Azaward, berkuat kuasa hari ini,” kata kenyataan dalam bahasa Arab.

MNLA juga meminta masyarakat antarabangsa mengiktiraf negara Azawad.

Kenyataan itu menambah MNLA akan menguruskan hal ehwal semasa Azawad sehingga pelantikan pihak berkuasa kebangsaan.

MNLA dibentuk Oktober 2011 apabila pemberontak Tuareg tempatan disertai ketua-ketua mereka, yang berada di Libya, selepas Muammar Gaddafi digulingkan.