ISLAMABAD — Kira-kira 100 askar tertimbus dalam runtuhan salji di pangkalan tentera Pakistan yang terletak di Siachen, kawasan terpencil pergunungan Himalaya, di sempadan India, hari ini.

Menurut satu kenyataan tentera, helikopter, anjing pengesan dan tentera telah dikerahkan ke kawasan runtuhan bagi menyelamatkan mereka yang terperangkap.

Runtuhan berkenaan dilaporkan berlaku pada jam 8.45 pagi waktu tempatan.

Glasier Siachen terletak di penghujung utara Kashmir, yang merupakan kawasan yang dituntut oleh kedua-dua India dan Pakistan. Ia dikenali sebagai medan perang tertinggi di dunia.
Kedua-dua negara berkenaan mengerahkan beribu-ribu tentera mengharungi suhu sejuk yang melampau dan angin kencang untuk mengawal sempadan untuk satu tempoh berbulan lamanya pada satu-satu masa.

Tentera terbabit turut dikerahkan mengharungi ketinggian sehingga 6,700 meter (22,000 kaki) sejak 1984, walaupun kawasan itu diisytiharkan menguat kuasa gencatan senjata pada tahun 2003.

Sementara itu seorang pegawai yang ditempatkan di kawasan kejadian sejak tahun 2003 rasa pelik dengan kejadian itu.

"Ia sepatutnya selamat. Ibu Pejabat di Gayari adalah pintu masuk utama di mana tentera dan bekalan disalurkan. Ia terletak di sebuah lembah di antara dua gunung yang tinggi dan berhampiran dengan hospital tentera,” katanya yang enggan dikenali.

Tambahnya, lebih ramai askar telah meninggal dunia berikutan cuaca melampau berbanding pertempuran di medan perang.- AP