Pages

Saturday, April 7, 2012

Ibu miliki kerakyatan AS, pencalonan tokoh Salafi terbatal

ABU Ismail, (tengah) dikawal penyokongnya ketika memasuki Medan Tahrir dalam bantahan ke atas pembatalan pencalonannya sebagai Presiden Mesir.
ABU Ismail, (tengah) dikawal penyokongnya ketika
 memasuki Medan Tahrir dalam bantahan ke atas
pembatalan pencalonannya sebagai Presiden Mesir.

KAHERAH: Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir, mengesahkan bahawa ibu kepada salah seorang calon popular untuk jawatan presiden, Hazem Abu Ismail, 50, adalah warga Amerika dan dengan sendirinya menyebabkan penyertaan beliau terbatal.

Pembatalan pencalonan Ismail dijangka meningkatkan peluang kepada tokoh pilihan Ikhwanul Muslimin Khairat el-Shater. Beliau sebelum ini disifatkan sebagai pesaing terdekat el-Shater. Keputusan semalam dijangka menimbulkan kemarahan penyokong Abu Ismail, seorang peguam dan penceramah agama yang dianggap calon paling menyerlah sebagai presiden dan menerima sokongan meluas golongan ultra konservatif, Salafi.

Pengumuman itu juga dianggap memalukan bagi Abu Ismail, yang menggunakan retorik anti Amerika dalam ucapannya dan menolak pergantungan Mesir kepada Washington. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, beliau berulang kali menafikan khabar angin bahawa ibu beliau sudah meninggal dunia, memiliki kerakyatan Amerika. 

Untuk bertanding jawatan presiden seseorang calon dikehendaki mendapatkan pengesahan daripada ahli parlimen atau parti. Jika tidak, beliau perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 30,000 tandatangan daripada penduduk awam di seluruh Mesir. 

Minggu lalu Abu Ismail menyerahkan dokumen pencalonan, bersama tandatangan daripada kira-kira 150,000 penduduk, lima kali ganda melebihi jumlah yang diperlukan. 

Selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak tahun lalu, Mesir memperkenalkan undang-undang menetapkan bahawa calon yang bertanding, pasangan dan ibu bapa mereka tidak boleh mempunyai kerakyatan negara lain, kecuali Mesir. 
Suruhanjaya itu bagaimanapun belum secara rasmi membatalkan pencalonan Abu Ismail kerana proses penapisan calon belum lagi dimulakan. 

Abu Ismail kini berusaha mencari jalan untuk terus bertanding. – AP 

No comments: