Pages

Wednesday, November 2, 2011

Tunisia keluarkan waran tangkap ke atas balu Yasser Arafat


TUNIS 1 Nov. - Pihak berkuasa Tunisia mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap balu Yasser Arafat, Suha sebagai sebahagian siasatan rasuah terhadap keluarga bekas Presiden Zine al-Abidine Ben Ali.

Suha Arafat pernah menghabiskan banyak masa di Tunisia dan selama bertahun-tahun menjalin hubungan erat dengan isteri Ben Ali, Leila Trabelsi.

"Tunisia mengeluarkan waran tangkap terhadap Suha kerana disyaki terlibat dalam kes-kes rasuah kewangan dengan keluarga isteri Ben Ali," kata jurucakap Kementerian Kehakiman, Shokri Nafti semalam.

Di Malta, Suha berkata, beliau belum menerima notis rasmi mengenai waran itu tetapi terkejut dengannya, sambil menyifatkan diri beliau sebagai mangsa rejim lama Tunisia.

"Saya belum diberitahu secara rasmi mengenai sebarang waran tetapi saya sangat terkejut kerana saya adalah mangsa pemerintahan diktator Tunisia dan kini saya pula menjadi tertuduh," katanya di laman web Malta, timesofmalta.com.

Keluarga Yasser Arafat menjalin hubungan dengan Tunisia semasa Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) berada dalam buangan dan mendirikan ibu pejabatnya di Tunis pada 1980-an dan awal 1990-an.

Berikutan kematian pemimpin veteran Palestin itu pada 2004, balunya mendapat pasport Tunisia dan kerap kelihatan di sisi Trabelsi, seorang bekas pendandan rambut yang ahli keluarganya kemudian menguasai sebahagian besar ekonomi negara ini.

Namun kerakyatan Tunisia yang diterima oleh Suha dilucutkan dan beliau diusir pada 2007 ekoran perbalahan dengan Trabelsi, dan beliau kini tinggal di Malta.

Tuduhan yang dihadapinya di Tunisia termasuk dakwaan rasuah melibatkan usaha sama beliau dengan Trabelsi dalam penubuhan sebuah Sekolah Antarabangsa Carthage di Tunis.

Kata Suha semalam, beliau memutuskan hubungan dengan sekolah itu pada 2007 dan memiliki dokumen untuk membuktikan beliau telah menjual semua sahamnya kepada anak saudara Trabelsi, Asma Mahjoub. - Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: