Pages

Wednesday, November 2, 2011

Lanun Somalia tawan 15 kapal



Seorang lanun Somalia lengkap bersenjata berjalan di tepi pantai dengan kapal kargo Greece, MV Filitsa berlabuh di perairan selepas ditawan lanun dalam gambar fail 7 Januari 2010. – AFP


NEW YORK 1 Nov. – Lanun Somalia kini dilaporkan menawan lebih 300 tebusan dan 15 kapal dan membangkitkan militan lain untuk menyerang kapal-kapal di beberapa bahagian lain di Afrika, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Amaran itu dikeluarkan ketika Majlis Keselamatan PBB menyeru negara-negara Afrika Barat untuk meningkatkan rondaan tentera laut dan langkah-langkah lain untuk menentang kegiatan melanun.

Jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB, Taye-Brook Zerihoun berkata, beberapa lanun Somalia turut melancarkan serangan berperingkat di Lautan Hindi serta semakin ganas.

Menurut angka terbaru daripada Organisasi Maritim Antarabangsa, lanun Somalia kini mempunyai 316 tebusan dan 15 kapal.

Beberapa kerajaan termasuk Britain kini sedang mempertimbangkan untuk meletakkan pengawal keselamatan swasta di atas kapal.

Tambahnya, PBB dan kerajaan semakin bimbang dengan hubungan antara lanun dengan militan al-Shebab yang kini bertindak memerangi kerajaan Somalia.

“Tindakan pihak antarabangsa menyebabkan kesan yang tidak diingini serta memaksa lanun Somalia menjalankan kegiatan di selatan termasuk kawasan-kawasan yang berada di bawah pengaruh Shebab.

“Hubungan yang semakin meningkat antara militan al-Shebab dengan lanun Somalia boleh berubah di mana mereka boleh mendorong serangan di beberapa tempat lain di laluan perkapalan dunia terutamanya di Teluk Guinea,” katanya.

Serangan di luar pantai Nigeria kini merebak ke Benin di mana sekurang-kurangnya 20 insiden kegiatan lanun berlaku pada tahun ini berbanding tiada pada tahun lepas, lapor industri perkapalan.

Benin dan Nigeria melancarkan rondaan tentera laut pada bulan lepas dan Perancis, Amerika Syarikat serta China turut menawarkan bantuan di Afrika Barat. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: