Pages

Wednesday, November 2, 2011

Pihak berkuasa Bangkok ditekan kemarahan mangsa banjir


BANGKOK 1 Nov. - Pihak berkuasa Bangkok hari ini mendakwa mereka tidak dapat meredakan krisis banjir bagi setiap orang di ibu negara Thailand ini, sementara kemarahan dan penderitaan penduduk di kawasan yang ditenggelami air meningkat kerana tiada bantuan daripada kerajaan.

Walaupun kawasan tengah Bangkok sehingga kini terselamat daripada banjir, keadaan begitu genting di beberapa kawasan sekitarnya, di mana penduduk meluahkan kemarahan kerana rumah-rumah mereka dikorbankan untuk menyelamatkan bahagian tengah ibu negara.

Pihak berkuasa pusat dan tempatan berbalah berhubung setinggi mana pintu-pintu air di pinggir utara Bangkok patut dinaikkan bagi membolehkan air mengalir, kata Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra.

Katanya, beberapa kawasan lain di bandar raya ini, termasuk kawasan perindustrian, akan dilanda banjir jika terlalu banyak air dibenarkan mengalir.

"Seperti ahli politik lain, saya mengasihi rakyat tetapi kadang-kadang saya perlu bertegas dengan tuntutan golongan minoriti demi menjaga kepentingan majoriti, dan saya tidak boleh tunduk kepada setiap tuntutan," kata Sukhumbhand.

Pusat bandar Bangkok terselamat daripada banjir buruk selepas benteng di sepanjang Sungai Chao Phraya menghalang limpahan air semasa air pasang dari Teluk Siam pada hujung minggu lalu.

Bagaimanapun di daerah barat seperti Bang Phlat, hanya lima kilometer dari pusat bandar Bangkok, rumah-rumah rosak teruk dan jalan bertukar menjadi terusan air kotor, dan penduduk pula tidak mendapat bantuan pihak berkuasa.

"Saya mahu pihak kerajaan datang untuk membantu kami, kerana kami sudah meminta bantuan seperti bot, makanan, ubat-ubatan tetapi tidak menerima apa-apa," kata Pailin Sontana, 58, ketika meredah air keruh setinggi paras pinggang.

Namun jurucakap Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), Jate Sopitpongstorn berkata, mereka tidak dapat membantu semua orang 'kerana penduduk enggan meninggalkan rumah mereka dan berpindah ke pusat perlindungan yang kami sediakan'.

"Kami mempunyai bilangan bot dan kenderaan tentera yang terhad dan tidak dapat pergi ke setiap jalan untuk mengagihkan bekalan makanan dan air tiga kali sehari," katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: