Pages

Wednesday, November 2, 2011

Bantuan banjir tak sampai semua tempat

  • Foto

    SEORANG wanita dan pekerjanya menjual makanan yang dimasak di kawasan banjir di Chinatown, Bangkok.

  • Foto

    Seorang mangsa banjir yang dipindahkan ke kuil dijadikan tempat perlindungan sementara bermain dengan anaknya.

  • Foto

    PENDUDUK tetap menaiki bas yang meredah banjir di ibu kota Thailand.

Penduduk luar kota Bangkok marah tiada bekalan

BANGKOK: Pihak berkuasa ibu negara Thailand mengakui tidak dapat memberi bantuan kepada semua mangsa banjir di kota itu ketika semakin ramai penduduk marah kerana belum mendapat bekalan keperluan daripada pegawai berkenaan.
Meskipun kawasan dekat tengah kota itu belum dinaiki air, keadaan semakin kritikan di beberapa kawasan luar daripada pusat bandar apabila penduduk membantah kediaman mereka dibiarkan semata-mata supaya tempat lain terlepas daripada banjir.
Pihak berkuasa pusat dan tempatan juga bertelagah mengenai ketinggian pintu hadangan air di sebelah utara bandar itu patut dinaikkan bagi membenarkan lebih banyak air turun, kata Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra.

Beliau mendedahkan, beberapa lagi kawasan di Bangkok termasuk lokasi perindustrian akan menghadapi risiko besar jika air masuk ke sana.

“Seperti juga ahli politik lain, saya menyintai orang ramai tetapi kadangkala saya perlu bertegas dengan tuntutan minoriti supaya tidak mengatasi majoriti.
Saya tidak boleh akur kepada semua tuntutan,” katanya dalam satu taklimat yang disiarkan secara langsung.
Angka kematian banjir terburuk Thailand sejak beberapa dekad lalu melonjak kepada lebih 380 orang di seluruh Thailand, berpunca daripada hujan lebat sejak tiga bulan lalu.

Buat masa ini, kawasan pusat bandar Bangkok sebahagian besarnya belum dinaiki air selepas air Sungai Chao Phraya melimpah minggu lalu.

Tetapi, kawasan di sebelah barat termasuk Bang Phlat, hanya lima kilometer dari pusat bandar Bangkok menyaksikan kediaman penduduk rosak dan air menenggelami jalan raya tanpa kelihatan bantuan daripada mana-mana pihak.

“Saya mahu petugas kerajaan datang dan membantu. Kami sudah minta bantuan tetapi tiada siapa datang. Kami minta bot, makanan dan ubat tetapi belum dapat apa-apapun lagi,” kata Pailin Sontana, 58.

Yupin Songsuk, 38, seorang petugas bahagian kebersihan di sebuah hotel, berkata keadaan belum menunjukkan semakin baik sebaliknya paras air semakin tinggi.

“Kami masih dapat makan dan minum kerana masih ada bekalan simpanan tetapi bagaimana selepas ini, jika tiada siapa yang datang bagi membantu,” katanya.

Jate Sopitpongstorn, jurucakap Pentadbiran Kota Bangkok (BMA) berkata, pihaknya tidak dapat memberi bantuan kepada semua orang kerana ‘ada yang enggan meninggalkan rumah dan berlindung di kawasan sementara.’

“Kami mempunyai jentera tentera dan bot yang terhad jadi kami tidak dapat pergi ke semua kawasan untuk memberi makanan dan minuman tiga kali sehari,” katanya. – AFP
Berita Harian Online | Bantuan banjir tak sampai semua tempat:

'via Blog this'

No comments: