Pages

Saturday, September 3, 2011

Pertempuran burukkan keadaan Somalia

PENDUDUK pulang ke daerah Bakara di Mogadishu selepas militan Shebab keluar dari situ, kelmarin.

PENDUDUK pulang ke daerah Bakara di Mogadishu
selepas militan Shebab keluar dari situ, kelmarin.

MOGADISHU: Sekurang-kurangnya 21 orang maut dan 31 lagi cedera akibat pertempuran di sempadan Somalia dan negeri pemisah Puntland, kata pegawai dan saksi, semalam.

Pertempuran itu meletus sejak kelmarin di sebelah utara bandar Galkayo selepas tentera Puntland melancarkan serbuan di beberapa kawasan memburu kumpulan lelaki bersenjata dipercayai menyokong militan Shebab yang pro al-Qaeda.
“Tentera Puntland melakukan operasi keselamatan di Galkayo selepas mendapat maklumat mengenai kumpulan pengganas Shebab,” menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Puntland.
“Operasi itu berjaya dan ramai pengganas maut,” menurut kenyataan itu lagi. Galkayo terletak bertentangan sempadan negeri Puntland dan bahagian tengah Somalia.

Pegawai keselamatan berkata, pertempuran meletus lagi awal semalam selepas kedua-dua pihak memperkukuh kekuatan dan kedudukan masing-masing.

“Kami tidak pasti berapa ramai yang terbunuh tetapi laporan menyatakan sekurang-kurangnya 21 maut, kebanyakannya pengganas,” kata Mohamed Jama, seorang pegawai keselamatan di wilayah separuh autonomi itu.

Beberapa saksi juga memberi angka korban yang sama dan memberitahu kedua-dua pihak bertempur di sekitar bandar itu sehingga semalam.
“Pertempuran berterusan selama dua hari dan lebih 20 orang maut setakat ini dan 31 lagi, kebanyakannya orang awam, cedera,” kata saksi, Abdukadir Farah.

“Saya nampak sekurang-kurangnya 10 mayat pagi ini dan lebih 10 lagi terbunuh kelmarin. Tembak menembak begitu sengit,” kata seorang lagi penduduk, Ahmed Jego.

Militan Shebab masih menguasai sebahagian besar wilayah selatan dan tengah Somalia termasuk daerah yang diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai zon kebuluran.

Somalia teruk terjejas kerana kemarau terburuknya dalam tempoh beberapa dekad hingga separuh daripada 10 juta penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan.

Sejak 2004, Somalia diperintah beberapa kerajaan sementara yang gagal melaksanakan pembaharuan mahupun memulihkan keselamatan yang mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat antarabangsa termasuk penduduk tempatan. – AFP/Reuters 

No comments: