Pages

Saturday, September 3, 2011

Saya masih sihat - Azizan


AZIZAN Abdul Razak menziarah jenazah Abdul Rahman Ahmad di Kampung Alor Belat, Pendang, Kedah, semalam.



PENDANG 2 Sept.- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan beliau masih sihat dan mampu memikul tanggungjawabnya itu selepas mendapat rawatan sakit jantung bulan lepas.
Katanya, tidak ada alasan untuk beliau bercuti panjang dengan melantik pemangku atau timbalan mentadbir negeri ini.
"Tengok saya sihat sahaja, nak buat apa lantik pemangku. Kalau nak buat macam itu patut buat semasa saya masuk IJN (Institut Jantung Negara) dahulu kerana sekarang saya sudah sihat. Tidak perlu pemangku.
"Lantik Timbalan Menteri Besar pula tidak ada dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah jenazah Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Abdul Rahman Ahmad, 56, yang meninggal dunia akibat sakit jantung di Kampung Alor Belat dekat sini hari ini.
Azizan mengulas laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris hari ini tentang desas-desus jawatan beliau sebagai Menteri Besar akan diganti kerana masalah kesihatannya itu.
Laporan akhbar tersebut menyebut, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dijadualkan menghadap Sultan Kedah hujung minggu ini untuk mendapatkan perkenan baginda berhubung peralihan kepimpinan kerajaan negeri itu.
Presiden Pas tersebut juga akan menghadiri rumah terbuka Menteri Besar di Sungai Limau dan Mentaloon di sini esok dan Ahad ini.
Azizan berkata, beliau bagaimanapun akan melepaskan jawatan sekiranya menerima arahan rasmi daripada pucuk kepimpinan Pas.
"Semua terpulanglah jika Pas pusat minta saya berundur saya akan berundur, esok pun boleh. Dahulu pun bukan saya minta jawatan ini.
"Tetapi Presiden (Hadi) ada telefon saya baru-baru ini tanya khabar tetapi tidak maklumkan apa-apa pun tentang perkara ini," katanya.
Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut namun turut menegaskan keputusan tentang peralihan kepimpinan kerajaan negeri itu terletak di tangan Pas pusat.
"Memandangkan nama saya naik tidak perlulah saya beri apa-apa komen. Semua terpulanglah kepada Pas pusat yang menentukan tentang perkenan Sultan," katanya.
Phahrolrazi antara tiga Exco yang disebut-sebut sebagai calon untuk memangku jawatan Menteri Besar tersebut termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dan ADUN Tokai, Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul.utusan

No comments: