Pages

Monday, June 13, 2011

Pemberontak makin menghampiri Tripoli


BEBERAPA pemberontak Libya berlindung daripada bedilan mortar tentera Gaddafi di Dafniya, 40 kilometer ke barat bandar Misrata, Libya semalam.


ZAWIYAH - Pemberontak Libya kini menggempur bandar pelabuhan minyak utama di negara itu, Zawiya yang terletak sekitar 50 kilometer (km) ke barat Tripoli.
Kemaraan pemberontak memaksa tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menutup sebuah lebuh raya di pesisir pantai barat Libya yang juga merupakan laluan utama untuk bekalan dari negara jirannya, Tunisia.
Pihak pemberontak pernah menawan Zawiya yang memiliki 250,000 penduduk pada awal Mac lalu.
Mereka bagaimanapun diusir dua minggu kemudian dalam kepungan oleh briged elit tentera Libya yang diketuai anak lelaki Gaddafi, Khamis.
Kelmarin, jurucakap majlis kepimpinan pemberontak di London, Guma el-Gamaty berkata, pejuang-pejuang pemberontak kembali menguasai kebanyakan kawasan di barat bandar berkenaan.
Seorang pejuang pemberontak dikenali sebagai Kamal berkata: "Mereka kini sudah berada di dalam bandar berkenaan."
Selain Zawiyah, pemberontak turut membedil bandar Dafniya di barat Libya.
Pemberontak Libya sebelum ini menawan timur negara itu, manakala bahagian barat termasuk ibu negara berkenaan, Tripoli dikuasai tentera Gaddafi.
Kemaraan pemberontak menghampiri Tripoli menyebabkan tentera Gaddafi kini semakin tertekan.
Tentera pemimpin Libya itu semakin lemah akibat serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di samping kepungan laut untuk menyekat bantuan ketenteraan memasuki negara tersebut.
NATO menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya pada Mac lalu untuk mengelakkan rakyat negara itu menjadi mangsa kekejaman tentera Gaddafi selepas orang ramai bangkit menentang pemimpin veteran tersebut sebulan sebelumnya.
Rakyat Libya menuntut pembaharuan demokrasi dan ekonomi dilaksanakan di negara Afrika Utara itu yang kaya dengan minyak. - AP
Kosmo! Online - Dunia

No comments: