Pages

Monday, June 13, 2011

Jawatankuasa pusat Fatah pilih Fayyad sebagai PM



Salam Fayyad
Salam Fayyad





RAMALLAH: Jawatankuasa pusat Fatah memilih perdana menteri sedia ada, Salam Fayyad sebagai calon untuk mengetuai kerajaan peralihan Palestin.

“Ketika mesyuarat malam tadi (kelmarin) di ibu pejabat presiden, kami memutuskan untuk mencalonkan Salam Fayyad bagi mengetuai kerajaan Palestin,” kata anggota jawatankuasa pusat parti itu yang enggan namanya disiarkan kepada AFP.


Keputusan itu diambil lebih awal daripada mesyuarat yang bakal berlangsung di Mesir antara pegawai rasmi Fatah dan saingan lamanya Hamas, di masa yang sama kedua kumpulan itu cuba untuk meluluskan susunan kerajaan peralihan yang mendapat mandat menerusi perjanjian dimeterai bulan lalu.
Perjanjian mengejut itu, bertujuan menamatkan hubungan keruh yang berlarutan sejak bertahun dengan menyeru kerajaan bebas meletakkan dasar bagi pemilihan presiden dan perundangan dalam tempoh setahun.

Malam Sabtu, selepas mesyuarat jawatankuasa pusat, wakil Fatah Azzam al-Ahmed, yang membantu dalam mencapai perjanjian penyatuan itu berkata pusingan rundingan seterusnya akan mengemukakan barisan kerajaan pada peringkat akhir.

Jawatankuasa pusat memutuskan untuk meneruskan komunikasi dengan Hamas dan kumpulan lain dalam usaha menubuhkan kerajaan Palestin dengan segera.

“Kedua belah pihak akan bertemu pada Selasa untuk menubuhkan kerajaan dan kita berharap ini menjadi rundingan terakhir yang perlu diselesaikan untuk mewujudkan kerajaan,” katanya memberitahu AFP.
Fatah dan Hamas masing-masing sudah menyediakan senarai pendek calon untuk jawatan perdana menteri tetapi masa depan Fayyad yang kini memegang jawatan perdana menteri masih belum tentu berikutan tentangan dari pihak Hamas.

Hamas belum mengumumkan calonnya untuk jawatan itu tetapi pegawai rasmi daripada pergerakan itu berkata mereka menjangkakan perdana menteri akan datang adalah dari Gaza, yang sekali gus akan menolak Fayyad.

Bagaimanapun Palestin turut berdepan dengan tekanan antarabangsa untuk terus mempertahankan Fayyad dalam usaha mengelakkan saluran dana ke kerajaan Palestin yang serba kekurangan terjejas.

Komuniti antarabangsa memuji Fayyad yang juga bekas pegawai Bank Dunia kerana usahanya membina institusi Palestin dan bersedia menjadi negara walaupun tanpa rundingan damai dengan Israel.

Sementara itu, Hamas menolak Fayyad daripada memegang jawatan perdana menteri dalam kerajaan peralihan kerajaan Palestin. – AFP
Berita Harian Online | Jawatankuasa pusat Fatah pilih Fayyad sebagai PM

No comments: