Pages

Monday, June 13, 2011

Tentera tempur sesama sendiri


PELARIAN Syria melintasi khemah Bulan Sabit Merah Turki di Boynuyogun, berhampiran sempadan Syria, semalam.
PELARIAN Syria melintasi khemah Bulan Sabit Merah Turki di Boynuyogun, berhampiran sempadan Syria, semalam.


Satu kumpulan askar cuba melindungi orang awam di Jisr al-Shugur

GUVECCI, Turki: Anggota tentera Syria bertempur sesama sendiri dengan satu kumpulan bertindak melindungi penduduk awam di Jisr al-Shugur, ketika satu lagi sedang menyerang pekan di barat laut itu.

“Pada masa ini mereka sedang menyerang Jisr al-Shugur dengan kereta kebal, helikopter dan bedilan artileri,” kata seorang penduduk di sini yang mendapat maklumat berkenaan daripada penduduk bandar di sempadan Turki itu semalam.
Sempadan Turki hanya 40 kilometer dari Jisr al-Shugur yang menjadi sasaran bedilan tentera Syria sejak beberapa hari lalu.

“Sekarang askar bertempur sesama sendiri dengan satu kumpulan cuba melindungi penduduk. Kumpulan ini mengebom dua jambatan di Jisr al-Shugur,” katanya.

Saksi berkata kebanyakan daripada 50,000 penduduk di bandar itu sudah melarikan diri menyeberangi sempadan Turki.

“Mereka yang masih berada di bandar itu akan meninggalkannya apabila tentera mula memasukinya,” kata seorang saksi.
Lebih 5,000 pelarian Syria memasuki Turki setakat ini dan ditempatkan di perkhemahan yang dikendalikan Bulan Sabit Merah Turki.

Beribu-ribu lagi masih di sempadan, teragak-agak untuk menyeberanginya memasuki Turki.

“Bagaimanapun, agak sukar sekarang untuk menuju ke sempadan Turki berikutan tindakan tentera dan polis menghalang kereta pelarian daripada bergerak ke arah sempadan,” kata seorang pelarian Mohammed, 24, yang menggunakan laluan ke sempadan yang biasanya digunakan oleh penyeludup.

“Rejim di Damsyik sudah mengagih-agihkan senjata kepada penduduk Alawiyyah. Mereka memberi senjata kepada kepada setiap lelaki berusia lebih 15 tahun, kata Mohammed.

Presiden Bashar al-Assad adalah daripada kumpulan Alawiyyah yang mewakili 10 peratus daripada penduduk Syria (kira-kira dua juta) tetapi menguasai kerajaan dan tentera. – AFP
Berita Harian Online | Tentera tempur sesama sendiri

No comments: