Pages

Monday, June 6, 2011

Misi NATO di Libya makin serius


SINGAPURA 5 Jun - Rusia hari ini memberi amaran kempen ketenteraan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Libya mungkin bertukar menjadi operasi darat selepas helikopter penggempur digunakan buat pertama kali dalam serangan ke atas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi.
Timbalan Perdana Menterinya, Sergei Ivanov berkata, pihaknya pada mulanya menganggap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung Libya bagi menghalang dan menghentikan pembunuhan orang awam termasuk penutupan ruang udara negara itu, adalah satu resolusi baik.
''Namun, kami belum bersetuju berhubung maksud penutupan ruang udara itu... sekarang NATO menggunakan helikopter untuk melancarkan serangan yang mensasarkan sasaran di darat. Pada pandangan saya, ia merupakan satu tindakan sebelum satu operasi darat dilancarkan.
''Tindakan ini (operasi darat) bukan merupakan apa yang kami mahukan ketika menyokong resolusi berkenaan,'' katanya pada forum keselamatan di sini.
NATO semalam mengerahkan helikopter penggempur Britain dan Perancis melancarkan serangan terhadap tentera Gaddafi di ibu negara Libya dan kawasan luar bandar di timur Tripoli.
Dalam pada itu, Menteri Luar Britain, William Hague bertemu pemimpin-pemimpin pemberontak Libya selepas serangan helikopter tersebut semalam.
''Kami berada di sini untuk menunjukkan sokongan kepada penduduk Libya dan Majlis Transisi Kebangsaan, perwakilan rakyat Libya yang sah,'' katanya dalam satu kenyataan.
Hague yang diiringi Menteri Pembangunan Antarabangsa, Andrew Mitchell turut mengadakan perbincangan dengan ketua Majlis Transisi Kebangsaan, Mustafa al-Jalil.
Beliau berkata, Britain akan bersama rakyat Libya dan pihaknya akan menghantar lebih banyak peralatan, pakaian seragam dan jaket kalis peluru kepada pemberontak di Misrata, kubu utama pemberontak.
''Kami tidak boleh menutup mata apabila Gaddafi menjadikan orang awam sebagai sasaran. Selagi Gaddafi menggunakan kekerasan terhadap rakyat, kami akan terus meningkatkan usaha untuk menghentikannya,'' katanya. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: