Pages

Monday, June 6, 2011

Pekerja restoran mati kena tetak


pix_gal0
NILAI: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai ditetak di kepala menggunakan senjata tumpul sebelum barang berharga miliknya disamun dalam satu kejadian di Flet Cempaka Puri, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa Azizul Ali, 29, yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di sini, ditemui rakan serumahnya dalam keadaan terlentang, manakala mukanya ditekup dengan bantal.
Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, anak bongsu tujuh beradik itu sempat menjaga ibunya yang menghadapi masalah hempedu tersumbat selama empat hari di Hospital Tampin, Tampin.
Katanya, Azizul juga sempat meminta maaf daripada ibunya serta meninggalkan sejumlah wang kepada kakak sulungnya dan meminta menjaga ibu mereka dengan baik sepanjang dia tiada.

“Tidak sangka perbuatan Azizul sebelum ini menunjukkan dia akan pergi dulu dan lebih sedih, dia pergi dalam keadaan begini,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang, berkata mangsa ditemui rakan serumahnya berusia 20-an yang baru pulang dari kerja kira-kira jam 9.15 pagi.

Katanya, rakan mangsa kebetulan masuk ke bilik mangsa untuk meminjam komputer riba dan terkejut mendapati mangsa berlumuran darah, manakala komputer riba dan telefon bimbit milik mangsa hilang.
“Kita belum mengenal pasti motif pembunuhan sama ada pembunuh sengaja melarikan barang mangsa bagi mengaburi pihak berkuasa seolah-olah kejadian samun atau sebaliknya," katanya di sini, semalam.

Mohd Yusof berkata, mayat mangsa dipercayai mati akibat ditetak dengan senjata tumpul dihantar ke HTJS di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Berita Harian Online | Pekerja restoran mati kena tetak

No comments: