Pages

Monday, June 6, 2011

Enam maut, 11 cedera terminal bas di Peshawar dibom


PESHAWAR 5 Jun - Sekurang-kurangnya enam orang maut dan 11 lagi cedera dalam satu letupan bom di sebuah terminal bas di barat laut Pakistan hari ini.
Bom itu ditinggalkan di dalam sebuah bas di terminal berhampiran sebuah pasar di Matani, kira-kira 20 kilometer ke selatan Peshawar, yang terletak dekat kawasan kabilah Pakistan bersempadan dengan Afghanistan.
"Bom itu dipercayai diletakkan di dalam sebuah bas yang hendak bertolak ke kawasan luar bandar dan diletup dengan alat kawalan jauh," kata ketua polis Peshawar, Mohammad Ijaz.
Beliau memetik saksi sebagai berkata, seorang lelaki menaiki bas itu dan turun selepas meninggalkan sebuah bungkusan di dalamnya.
Sejurus kemudian satu letupan kuat memusnahkan bas itu, menyebabkan kebanyakan penumpangnya terbunuh atau cedera.
Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab tetapi Taliban Pakistan telah melancarkan beberapa serangan berdarah untuk membalas dendam terhadap pembunuhan ketua al-Qaeda, Osama bin Laden oleh komando Amerika Syarikat (AS) pada 2 Mei lalu.
Letupan itu juga menyusuli laporan komander al-Qaeda di Pakistan, Ilyas Kashmiri terbunuh dalam serangan pesawat tanpa juruterbang atau 'drone' AS kelmarin.
Pihak berkuasa menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM15 juta) untuk menangkap Kashmiri, 47, yang didakwa mendalangi beberapa serangan berprofil tinggi ke atas kedudukan Barat, serta serangan di India dan Pakistan.
Pegawai Pakistan berkata, komander operasi al-Qaeda itu menjadi sasaran serangan drone AS di Waziristan Selatan, di sempadan Afghanistan, yang turut menyebabkan sembilan anggota kumpulannya maut. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

No comments: