Pages

Thursday, June 14, 2012

Rakyat Rusia terus desak Vladimir Putin letak jawatan

Aktivis pembangkang membawa replika sel penjara yang dimuatkan dengan gambar Putin semasa mengadakan bantahan terhadap pemerintahan pemimpin itu di Saint Petersburg, Rusia, kelmarin. - AFP
MOSCOW 13 Jun - Berpuluh-puluh ribu penduduk Rusia berhimpun di sekitar ibu negara ini semalam, bagi menuntut Presiden Vladimir Putin meletakkan jawatannya.
Kumpulan tunjuk perasaan turut mencabar undang-undang baharu yang digubal Putin bagi menyekat demonstrasi menentang pentadbirannya.
Perhimpunan itu turut menyaksikan penunjuk perasaan melaungkan slogan 'Rusia tanpa Putin!' dan 'Putin seorang penyangak!'.
"Kami tidak memerlukan seorang pemimpin yang 'mencuri' dan mahu berkuasa seumur hidup," kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Boris Nemtsov kepada kumpulan tunjuk perasaan.
Perhimpunan tersebut dikawal oleh sejumlah anggota polis antirusuhan.
Putin, 59, berulang kali dituduh melakukan penipuan ketika pilihan raya Presiden pada Mac lalu, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk, terutamanya daripada parti pembangkang.
Presiden tersebut dalam ucapannya pada satu sambutan kemerdekaan Rusia daripada Kesatuan Soviet di Kremlin semalam, tidak menyentuh langsung mengenai protes berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan masalah boleh melemahkan Rusia.
"Kami tidak boleh menerima apa-apa perlakuan yang melemahkan negara dan memecah-belahkan masyarakat,'' katanya.
Isnin lalu, polis memanggil beberapa pemimpin parti pembangkang untuk disoal siasat berhubung keganasan yang berlaku pada hari pelantikan Putin sebagai Presiden pada Mei lalu. - REUTERS

No comments: