Pages

Thursday, June 14, 2012

PBB sahkan Syria di kancah perang saudara

PBB sahkan Syria di kancah perang saudara
Situasi semasa di Syria, termasuk dakwaan bahawa kanak-kanak dijadikan perisai. - Foto ihsan CNN
DAMSYIK - Syria kini berada di kancah perang saudara manakala kerajaan pula sudah hilang kawalan ke atas sebahagian besar bandar, demikian menurut ketua pasukan pengaman semalam.

Ia pendirian pertama seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang secara formal membuat kenyataan seumpama itu. PBB menghantar pasukan pengaman awal bulan lalu.

Komen itu muncul ketika pasukan pengaman PBB di Syria dilepaskan tembakan ketika mereka cuba tiba di Haffa, bandar yang menjadi kepungan di sebalik krisis yang berlarutan lebih setahun.

"Ya, saya rasa kami boleh mengatakan begitu (Syria di kancah perang saudara)," kata Herve Ladsous, dipetik CNN dan BBC.

"Sangat jelas, apa yang berlaku sekarang menunjukkan kerajaan Syria sudah hilang (kawalan) di sebahagian besar wilayah, beberapa bandar jatuh kepada pembangkang dan mahu mendapatkan semula kawalan," katanya.

Jurucakapnya, Kieran Dwyer mengesahkan kenyataan itu, yang diberikan kepada dua agensi berita, dengan stesen antarabangsa CNN.

Bagaimanapun katanya, melabelkan perkembangan semasa sebagai "konflik" tidak penting.

"Sama ada kita memanggilnya sebagai perang saudara, sama ada kita memanggilnya sebagai separa perang saudara, perang saudara di beberapa tempat, pokoknya ia semakin meningkat, di sebahagian besar kawasan di Syria," kata beliau.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton mendakwa Rusia menyediakan helikopter-helikopter penyerang kepada kerajaan Syria.

Katanya, tindakan itu akan meningkatkan konflik di Syria secara "dramatik."

Rusia pula mempertahankan pendiriannya dengan mengatakan bahawa bekalan senjata kepada Syria tiada kaitan dengan konflik.

No comments: