Pages

Thursday, June 14, 2012

56 korban keganasan

BAGHDAD: Satu siri serangan bom dan tembakan melanda beberapa wilayah Iraq ketika upacara sambutan agama penganut fahaman Syiah semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 56 orang mati dan mencederakan puluhan yang lain.
Serangan itu adalah yang terburuk melanda negara berkenaan sejak 68 orang terbunuh pada 5 Januari lalu dan berlaku ketika upacara memperingati Imam Musa Kadhim, imam ketujuh daripada 12 imam paling dihormati di kalangan pengikut Syiah. Menurut pegawai kanan polis yang juga ahli perubatan, Doktor Ali al-Khafaji, dua serangan bom kereta di bandar raya Hilla di tengah Iraq membunuh 19 orang dan mencederakan 48 yang lain.

Sekurang-kurangnya 19 orang juga terbunuh di kawasan Baghdad dalam 10 serangan bom berturut-berturut yang juga menyebabkan puluhan orang cedera.
Serangan itu termasuk satu di Karrada di tengah Baghdad yang membunuh 16 orang dan mencederakan 32 yang lain.

Serangan bom kereta itu disasarkan ke arah puluhan ribu penduduk Syiah yang membanjiri makam Imam Musa di kawasan Kadhimiyah, utara Baghdad.

Bom meletup di kawasan tempat penduduk bersarapan di dalam khemah masing-masing.
Cebisan mayat bertaburan di sepanjang jalan, manakala kereta dan kedai di kawasan sekitar musnah, kata jurugambar media.

Sementara itu sembilan orang maut dalam serangan di Baquba, di utara Baghdad.
“Terdapat satu siri serangan dengan sembilan serangan bom jalanan di kawasan berbeza di pinggir Baquba yang membunuh empat orang dan mencederakan tujuh yang lain,” kata seorang kolonel polis.

Kumpulan lelaki bersenjata turut menyerang sebuah kediaman di utara Baquba, membunuh seorang bapa dan mencederakan isteri serta tiga anaknya manakala serangan bom kereta yang disasarkan ke arah pusat pemeriksaan polis mencederakan empat anggota pasukan keselamatan. Sumber perubatan di hospital Baquba mengesahkan jumlah kematian itu. - AFP

No comments: