Pages

Sunday, May 27, 2012

Rumah tumpangan hangus

Rumah tumpangan hangus
Zawiyah sedih melihat katil yang berada di rumah tersebut tidak dapat diselamatkan
KOTA BHARU- Seorang pembantu kedai makan nyaris rentung di dalam bilik tidurnya apabila rumah tumpangan yang disewanya terbakar di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, rumah tumpangan dua tingkat yang mempunyai lapan bilik di Jalan Bayam dimiliki Abdul Satar@ Ismail Hassan 60-an terbakar, manakala sebuah restoran yang disewakan di bangunan sama turut rosak.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 10.35 malam itu seorang penyewa, Zawiyah Husin, 40, terselamat selepas tersedar dari tidur apabila pintu rumah diketuk seorang wanita tidak dikenalinya.

Zawiyah berkata, ketika kejadian dia tidur bersendirian kerana teman sebiliknya Wan Nor Idayu Wan Zuki, 16, berada di rumah rakannya terletak berhampiran tempat kejadian.

“Selepas tersedar dari tidur saya terkejut kerana melihat ruang rumah sewa kami dipenuhi asap dan api dari sebuah bilik lain mula merebak masuk ke tempat saya.

Saya terus berlari mendapatkan pertolongan jiran supaya menghubungi bomba kerana ketika itu api sudah mula marak dan saya tidak dapat berbuat apa- apa lagi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Zawiyah bersama rakannya terpaksa tinggal sehelai sepinggang kerana semua barangan miliknya tidak dapat diselamatkan disebabkan kejadian berlaku dengan pantas.

Menurutnya, dia juga terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan barang dalam sebuah bilik ditinggalkan pasangan suami isteri yang difahamkan ke Terengganu beberapa hari lalu.

Sementara itu, anak kepada pemilik rumah tumpangan, Hakimi Ismail, 36, berkata, mereka kerugian lebih RM50,000 selepas lapan bilik termasuk semua peralatan musnah.

Katanya, itu adalah kejadian pertama yang berlaku se-menjak rumah tumpangan itu beroperasi lebih 10 tahun dan mereka terpaksa membaikpulih sepenuhnya untuk meneruskan semula perniagaan.

“Saya juga bersyukur dengan tindakan cepat bomba restoran kami yang disewakan di bangunan ini terselamat walaupun mengalami sedikit kerosakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi menyelamat, Yazulia Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.43 malam dan empat jentera bersama 16 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya 11 minit kemudian dan punca sebenar kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.

No comments: