Pages

Sunday, May 27, 2012

Facebook punca pasangan cerai


LONDON 24 Mei - Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg mungkin baru menukar status perhubungannya kepada 'berkahwin' Sabtu lalu, namun laman sosial itu kini didapati menyumbang kepada satu pertiga daripada jumlah perceraian di sini, hasil satu tinjauan yang dilakukan oleh firma perundangan.
Menurut satu kajian ke atas 5,000 petisyen perceraian oleh firma perundangan United Kingdom, Divorce Online, lebih 33 peratus perceraian tahun lalu yang disenaraikan adalah berpunca daripada Facebook.
Jumlah itu naik mendadak berbanding 20 peratus pada 2009.
Tinjauan tersebut mendapati, terdapat peningkatan aduan oleh pasangan suami isteri yang bertengkar mengenai perbuatan sama ada mereka menukar status perhubungan masing-masing kepada bercerai dengan mesej-mesej yang tidak sesuai kepada jantina berbeza menjadi punca utama kepada aduan itu.
"Sekiranya seseorang ingin menjalinkan hubungan sulit, Facebook merupakan cara yang mudah untuk melakukannya,'' kata jurucakap Divorce Online, Mark Keenan.
Malah, status yang dikemas kini, pemergian mencurigakan ke restoran dan gambar-gambar tidak sesuai yang dipaparkan di Internet, turut dijadikan bahan bukti dalam kes perceraian.
"Justeru, pengguna Facebook perlu berhati-hati mengenai status yang mereka tulis kerana mahkamah melihat ia boleh digunakan dalam kes tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak sebagai bukti,'' kata Keenan.
Sementara itu, menurut Akademi Peguam Perkahwinan Amerika Syarikat (AS), kira-kira 80 peratus peguam di negara itu mendedahkan, jumlah kes perceraian berpunca daripada laman sosial semakin meningkat.
"Saya melihat isu Facebook mengakibatkan perpecahan dalam perkahwinan berlaku sepanjang masa,'' kata peguam perceraian di Connecticut, Gary Traystman kepadaSmartmoney.com.
Daripada 15 kes yang dikendalikannya dalam tempoh setahun, rekod komputer, mesej dan email dijadikan sebagai bahan bukti dengan 60 peratus daripadanya melibatkan Facebook. - AGENSI

No comments: