Pages

Sunday, May 27, 2012

Program pengintipan Islam sah


TRENTON, New Jersey 25 Mei - Polis New York City didapati tidak melanggar undang-undang negeri ini apabila mereka menjalankan pemantauan ke atas kumpulan perniagaan, masjid dan pelajar melibatkan mereka yang beragama Islam.
Pentadbiran Gabenor New Jersey, Chris Christie semalam berkata, kesimpulan itu dibuat selepas menjalankan penelitian selama tiga bulan ke atas program pemantauan tersebut, keputusan yang menimbulkan kemarahan pemimpin Islam yang mahu ia dihentikan.
Kesimpulan dibuat oleh Peguam Negeri, Jeffrey S. Chiesa yang dilantik Christie untuk mengetuai penelitian tersebut, membawa maksud penduduk Islam New Jersey tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk menghentikan tindakan polis daripada mengintip kumpulan pelajar, masjid atau mendokumenkan lesen nombor pendaftaran kereta mereka yang bersembahyang di masjid.
Wakil Pejabat Peguam Negara memberitahu AP, pihak berkuasa juga mendapati New Jersey tidak mempunyai undang-undang untuk menghalang agensi penguatkuasa undang-undang dari luar negeri mengadakan operasi rahsia di sini.
Operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada program polis New York untuk mengutip maklumat masyarakat Islam di New York dan kawasan sekitarya.
Pegawai polis akan menyamar untuk mendengar perbualan di restoran Islam dan memantau khutbah disampaikan di masjid walaupun tiada bukti berlakunya sebarang jenayah.
Hasil penyamaran itu menyebabkan banyak pemilik perniagaan, pelajar dan individu dimasukkan dalam fail polis, tindakan yang didedahkan agensi berita AP pada awal tahun ini.
Ia menimbulkan kemarahan pemimpin Islam, sementara Datuk Bandar Newark, Cory Booker dan pegawai kanan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengkritik tindakan itu. - AGENSI

No comments: