Pages

Sunday, May 27, 2012

Pembangkang ancam adakan bantahan kenaikan harga petrol 11.5%


Penunggang motosikal membanjiri sebuah stesen minyak bagi mengisi petrol di bandar Ahmedabad, negeri Gujarat, kelmarin. - Reuters
NEW DELHI 24 Mei - Parti-parti pembangkang India mengancam untuk mengadakan bantahan terhadap kenaikan harga minyak di seluruh negara, sementara parti-parti dalam kerajaan menuntut supaya harga petrol itu diturunkan.
Bagaimanapun, Parti Bharatiya Janata (BJP) dan parti berhaluan kiri masih belum menetapkan tarikh untuk mengadakan bantahan itu.
"Kerajaan langsung tidak bersimpati dengan nasib rakyat. Kenaikan 7.50 rupee (RM0.42) bagi seliter petrol adalah sukar digambarkan. Kami akan menuntut supaya ia diturunkan,'' kata jurucakap BJP, Prakash Javdekar.
Harga petrol India dinaikkan sebanyak 11.5 peratus berkuatkuasa malam tadi, kenaikan mendadak sejak kawalan komoditi itu ditarik balik pada Jun 2010.
India mengimport 70 peratus minyak dan peruncit berkata, mereka terpaksa menaikkan harga itu berikutan kejatuhan nilai mata wang rupee.
Nilai mata wang itu menurun sebanyak 13 peratus sejak Februari lalu dan mencecah rekod baru iaitu 56.40 rupee (RM3.16) untuk satu dolar ketika didagangkan awal hari ini.
Minggu ini, Menteri Kewangan India, Pranab Mukherjee menyalahkan ketidaktentuan ekonomi global, terutama krisis di Eropah dan jumlah import minyak yang semakin meningkat menjadi faktor menjejaskan nilai rupee.
Menurut Pranab, nilai import minyak tahunan India berada dalam lingkungan sehingga AS$170 bilion (RM536.1 bilion).
Dengan kenaikan baru itu, harga petrol meningkat sebanyak 13 sen iaitu 7.50 rupee (RM0.42) dengan kos seliter minyak di New Delhi adalah 73.18 rupee (RM4.10) dan 77.88 rupee (RM4.37) di Kolkata.
Kira-kira 50 peratus daripada harga petrol di India mengandungi cukai yang dikenakan kerajaan persekutuan dan negeri.
Namun, kerajaan masih memberikan subsidi kepada harga diesel, minyak tanah dan gas cecair petroleum yang digunakan untuk memasak. - DPA

No comments: