Pages

Wednesday, February 15, 2012

Lelaki Iran bawa bom di Bangkok

ORANG ramai melihat suspek yang cedera selepas bom dibawanya meletup di luar sebuah sekolah di Bangkok, semalam.
ORANG ramai melihat suspek yang cedera
 selepas bom dibawanya meletup di luar
 sebuah sekolah di Bangkok, semalam.




5 cedera dalam beberapa letupan, pasport dedah kewarganegaraan

BANGKOK: Seorang lelaki Iran membawa bahan letupan menerima padah semalam apabila kakinya putus kerana bom dibawanya meletup selain mencederakan empat orang lain dalam beberapa letupan di ibu kota Thailand.

Pasukan keselamatan menemui lebih banyak bahan letupan dalam rumah disewa penyerang di ibu kota ini, namun tidak diketahui sasarannya, kata pegawai kanan polis, Jeneral Pansiri Prapawat.
Sehari sebelumnya, sebuah kereta diplomat Israel diletupkan di New Delhi dan Israel menyalahkan Iran atas serangan itu.

Pihak berkuasa tidak membuat kenyataan segera mengatakan sama ada insiden itu berkaitan tetapi jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor di Baitulmaqdis berkata: “Kami tidak menolak sebarang kemungkinan.”

Satu daripada letupan itu merosakkan sebuah teksi dan sebutir bom tangan meletup selepas penyerang berada di luar sebuah sekolah Thai, kata pegawai kanan polis, Kolonel Warawut Taweechaikarn.

Gambar lelaki Iran yang cedera menunjukkan badannya diselaputi jelaga di kawasan luar sebuah sekolah dengan kaca pecah bertaburan. Sebuah bungkusan hitam ditemui berhampiran disiasat unit pemusnah bom.
Pansiri berkata, sekeping pasport ditemui di tempat kejadian menyatakan lelaki terbabit bernama Saeid Moradi berasal dari Iran.

Tiga lelaki dan seorang wanita tempatan dibawa ke Hospital Kluaynamthai untuk rawatan akibat cedera, kata Suwinai Busarakamwong, seorang doktor.
Letupan ketiga berlaku di sebuah rumah sewa jalan sama, sebuah kawasan perniagaan, namun tidak mencederakan sesiapa.

Bulan lalu, seorang lelaki Lubnan-Sweden yang didakwa ada kaitan dengan militan pro-Iran, Hizbullah, ditahan polis Thai. Dia membawa pihak berkuasa ke sebuah gudang dipenuhi dengan lebih 4,000 kilogram baja urea dan beberapa liter cecair ammonium nitrat.

Israel dan Amerika ketika itu memberi amaran penduduk mereka berjaga-jaga di ibu kota ini, namun pihak berkuasa Thailand berkata negara itu jelas tempat persinggahan namun bukan sasaran serangan. – AP

Berita Harian Online | Lelaki Iran bawa bom di Bangkok:

'via Blog this'

No comments: