Pages

Monday, October 31, 2011

Syria beri amaran kepada Barat




Gambar dikeluarkan Agensi Berita Syria pada 27 Oktober lalu merakamkan beribu-ribu penduduk Syria mengadakan perhimpunan di bandar Latakia, utara Damsyik bagi menunjukkan sokongan mereka kepada Bashar al-Assad – AFP


LONDON 30 Okt. – Presiden Syria, Bashar al-Assad memberi amaran, kuasa-kuasa Barat bakal mencetuskan ‘gempa bumi’ yang akan memusnahkan seluruh Asia Barat jika mereka campur tangan di negaranya.
Assad dalam wawancara dengan akhbar Sunday Telegraph dari Britain hari ini berkata, negara-negara Barat sudah pasti akan meningkatkan tekanan ‘tetapi Syria berlainan daripada segala segi berbanding Mesir, Tunisia dan Yemen kerana sejarahnya berbeza dan politiknya juga berbeza’.
Assad berkali-kali dikecam oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Liga Arab dan kerajaan Barat kerana menggunakan kekerasan dalam usaha untuk menghancurkan pemberontakan di negara itu sejak tujuh bulan lalu.
Aktivis berkata, tentera Syria membunuh lebih 50 penduduk awam dalam tempoh 48 jam lalu dan sekumpulan askar yang berpaling tadah disyaki membunuh 30 askar kerajaan dalam pertempuran di bandar Homs dan dalam serangan hendap di wilayah Idlib, semalam.
“Syria kini menjadi hab di rantau ini dan ibarat garisan gelinciran dan jika anda mengganggu bumi, anda akan mencetuskan gempa bumi,” tegas Presiden Syria itu.
Beliau bertanya kepada kuasa Barat, sama ada mereka mahu melihat Syria menjadi seperti Afghanistan atau berpuluh-puluh Afghanistan.
“Sebarang masalah di Syria akan membakar seluruh rantau ini dan jika ada rancangan untuk memecahbelahkan Syria, seluruh rantau ini akan berpecah belah,” ujar beliau.
PBB menganggarkan 3,000 orang termasuk hampir 200 kanak-kanak terbunuh dalam pemberontakan di Syria sejak protes bermula pada Mac lalu.
Pihak berkuasa Syria mendakwa keganasan itu berpunca daripada kumpulan bersenjata yang telah membunuh 1,100 askar dan anggota polis.
Assad berkata, berbanding pemimpin Arab yang digulingkan dalam revolusi Arab itu, beliau memberikan tindak balas berbeza.
“Kami tidak mengambil pendekatan sebuah kerajaan yang keras kepala, sebaliknya enam hari selepas protes bermula, saya memulakan pembaharuan dan masalah mula berkurangan.
“Ketika itulah arus mula berubah dan rakyat mula menyokong kerajaan,” katanya kepada Sunday Telegraph.
Sementara itu, Assad dijangka terus mendapatkan sokongan dari Rusia walaupun kerajaannya dikritik hebat ekoran tindakan keras yang diambil terhadap penunjuk perasaan.
“Syria bergantung kepada Rusia kerana kedua-dua negara ini mempunyai hubungan yang kukuh dari segi sejarah dan peranannya sangat penting,” katanya. – Reuters

No comments: