Pages

Monday, October 31, 2011

Mangsa gempa terdedah cuaca sejuk




Sebuah keluarga mangsa gempa di Turki berlindung di dalam khemah yang dibina dekat sebuah stadium yang dijadikan pusat penempatan mangsa gempa di bandar Ercis, semalam. - REUTERS


ERCIS 30 Okt. - Seminggu selepas timur Turki dilanda gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala Ritcher, mangsa bencana yang terselamat kini berhadapan 'ancaman' musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.
Ini kerana kebanyakan mereka yang hilang tempat tinggal ekoran kediaman masing-masing musnah dalam bencana itu mendakwa masih belum memiliki khemah bagi menghadapi musim tersebut.
Mangsa turut mendakwa, proses pembahagian bantuan khemah tidak terurus, ada yang dicuri termasuk dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Besir Atalay berkata, bantuan khemah adalah mencukupi dan setakat ini pihak berkuasa telah menyerahkan SEBANYAK 35,000 khemah kepada mangsa.
''Ekoran adanya dakwaan dan rungutan mangsa, kita akan mengenal pasti keperluan bantuan khemah menerusi lawatan pada waktu malam dan bukannya berdasarkan kepada kehendak rakyat,'' tegasnya.
Setakat semalam, korban rasmi mangsa gempa meningkat kepada 596 orang dengan bandar Ercis adalah yang paling teruk terjejas apabila mencatat 455 kematian.
Antara yang terkorban ialah 10 orang guru-guru muda yang ketika kejadian sedang meraikan majlis pertunangan rakan mereka di sebuah kafe di Ercis.
Kebanyakan mereka merupakan guru muda yang baru memulakan tugas mengajar di bandar berkenaan. - REUTERS

No comments: