Pages

Monday, October 31, 2011

Bekas tentera Kanada bantu anak Gaddafi



MONTREAL 30 Okt. - Seorang bekas tentera Kanada mengaku membantu anak lelaki Muammar Gaddafi, Saadi melarikan diri dari Libya pada bulan lalu selepas pemberontak menguasai Tripoli.
Bekas tentera itu yang menjadi pengawal keselamatan Saadi, Gary Peters berkata, dia merupakan sebahagian daripada kumpulan yang membawa anak ketiga Gaddafi itu lari ke selatan sempadan Libya untuk memasuki Niger.
''Saya bukan askar upahan. Saya hanya bertugas melindungi seseorang. Apabila kami ke luar negara, saya tidak terlibat dalam sebarang konflik. Itu kerja askar upahan.
''Melindungi? Ya. Menembak? Ya. Tetapi saya hanya melindungi 'bos' saya,'' katanya.
Peters, yang memiliki status penduduk tetap Kanada, kembali ke Toronto pada September lalu.
Dia mengalami kecederaan di bahu kiri akibat terkena tembakan ketika konvoinya cuba memasuki semula Libya selepas membawa Saadi keluar.
Baru-baru ini, Interpol mengeluarkan notis merah kepada Saadi berdasarkan dakwaan dia menggelapkan harta dan terlibat dengan 'ugutan menggunakan senjata' ketika mengetuai Persekutuan Bola Sepak Libya.
Saadi juga berdepan sekatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) kerana mengarahkan unit tentera terlibat dalam tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan di Libya.
Peters berkata, dia mula bertugas dalam perkhidmatan keselamatan ahli keluarga Gaddafi sejak 2004.
Katanya, dia juga ditugaskan mengawal anak-anak Gaddafi yang lain termasuk Saif al-Islam dan Hannibal.
''Saya juga membantu mengawal Hannibal dan Aisha ketika mereka melarikan diri ke Algeria,'' ujarnya.
Peters turut memberi amaran konflik di Libya tidak akan berakhir walaupun selepas kematian Gaddafi. - AFP

No comments: