Pages

Wednesday, September 7, 2011

60 hutan Texas musnah terbakar

Foto
KEBAKARAN hutan Bastrop County Complex antara  terburuk di Texas.
Foto
PEKERJA memeriksa kemusnahan bangunan resort di Killington, Vermont, Amerika Syarikat akibat ribut Irene.Banjir kilat turut ancam timur laut AS






SAN ANTONIO: Sekurang-kurangnya 60 kebakaran hutan dilaporkan berlaku di Texas semalam, memusnahkan beratus-ratus rumah dan membunuh sekurang-kurangnya dua penduduk.
Pihak berkuasa di Gregg County di timur laut Texas berkata seorang wanita berusia 20 tahun dan anak perempuannya berusia 18 bulan terbunuh dalam kejadian kelmarin apabila mereka terperangkap dalam rumah mudah alih yang disambar api.Perkhidmatan perhutanan Texas menganggarkan sejumlah 424 rumah musnah setakat ini, termasuk 300 kebakaran di timur Austin.

Gabenor Texas, Rick Perry yang bertanding sebagai seorang calon presiden Republikan terpaksa memendekkan kempen beliau dan kembali dari South Carolina ke Texas pada Isnin.

“Saya menggesa penduduk Texas mengambil langkah berjaga-jaga berikutan kita terus menyaksikan kesan kemusnahan akibat kebakaran hutan yang menjejaskan kawasan bandar dan luar bandar negeri ini,” kata Perry dalam kenyataan.

Perry sepatutnya menyertai satu forum yang disiarkan di televisyen bersama calon Republikan lain.
Lebih 1.5 juta hektar kawasan di Texas dilanda kebakaran hutan sejak November berikutan kemarau yang mengakibatkan kerugian lebih $5 bilion dalam industri pertanian negeri itu dan menunjukkan tiada tanda untuk berkurangan dalam masa terdekat.

Perkhidmatan Perhutanan Texas memberi maklum balas pada Ahad bahawa 63 kebakaran baru menyebabkan kemusnahan kawasan seluas 13,000 hektar termasuk 22 kebakaran baru yang besar.

Pegawai berkata bahawa kebakaran terburuk membabitkan Bastrop County Complex, yang mempunyai keluasan sehingga 26 kilometer.

Pihak berkuasa berkata kebakaran merebak ke bahagian jalan raya yang diharapkan mereka akan menjadi penghalang dan kini sudah mencapai keluasan10,000 hektar.
Sementara itu beberapa negeri di timur laut Amerika, diletakkan di bawah amaran banjir kilat berikutan lebih banyak hujan diramalkan.

Jabatan Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran banjir kilat tengah hari kelmarin yang akan berlarutan sehingga Selasa bagi kawasan di timur laut termasuk Vermont dan sebahagian New Hampshire, Maine, Massachusetts, Connecticut, Pennsylvania, New York dan New Jersey.

“Ini adalah keadaan yang mungkin berbahaya. Kawasan yang teruk terjejas akibat ribut tropika Irene minggu lalu akan membawa lebih banyak banjir kilat manakala hujan diramal berterusan,” kata jabatan itu melalui laman webnya.

Kawasan paling teruk dilanda Irene termasuk Long Island New York, utara New Jersey dan selatan serta tengah Vermont dijangka mengalami lebih banyak kenaikan paras air sungai. – Reuters 

No comments: