Pages

Wednesday, September 7, 2011

Rundingan disambung

SHISHAN: Kerajaan baru Libya semalam menyambung semula rundingan dengan pemimpin tempatan Bani Walid, antara kubu terakhir Muammar Gaddafi, dalam usaha menamatkan ketegangan di bandar itu.
Rundingan untuk penyerahan diri secara aman Bani Walid, yang dikepung pemberontak anti-Gaddafi sejak minggu lalu, menemui jalan buntu kelmarin dan rundingan terbaru semalam bertujuan meyakinkan puak Warfalla, pemimpin dan masyarakat tempatan.

“Tidak ada siapa yang akan ditindas. Kami tidak akan menyerang harta benda atau orang ramai,” kata pemimpin nombor dua Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mahmud Jibril.

“Insya-Allah, rundingan kali ini akan berjaya,” katanya menerusi telefon dari Benghazi.

Beliau menyifatkan perbincangan itu sebagai peluang bersejarah bagi Bani Walid dan puak Warfalla, suku kaum yuang menguasai wilayah itu.

Wakil Bani Walid sebelum ini mendesak kerajaan sementara Libya mengumumkan pengampunan beramai-ramai dan berkata rundingan di Shishan, pinggir bandar Bani Walid, berjaya mengikis prasangka penduduknya.


“Kami berada di sini kerana mahu mengelak pertumpahan darah,” kata seorang ketua tempatan Bani Walid, Sheikh Abdel Qadir Mayad.

Beliau bagaimanapun mengaku masih terdapat halangan dan keraguan di kalangan penduduk bandar itu ekoran propaganda selama enam bulan dan campur tangan media yang menyokong Gaddafi.

No comments: