Pages

Monday, August 22, 2011

Pemberontak serang Tripoli?




KEPULAN asap di ruang udara bandar Tajura, pinggir Tripoli ekoran serangan udara NATO pada 17 Ogos lalu. Pemberontak Libya mendakwa mereka telah mula melancarkan serangan ke atas ibu negara Libya itu, kelmarin. – AFP


TRIPOLI 21 Ogos – Pemberontak Libya mendakwa mereka sudah melancarkan serangan pertama ke atas Tripoli dengan bantuan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Bunyi letupan dan tembakan meriam luar biasa mula kedengaran di ibu kota ini, kata ketua majlis pimpinan pemberontak, Mustafa Abdel-Jalil kepada stesen sateliti Arab, Al-Jazeera.
Pertempuran itu meletus hanya beberapa jam selepas pemberontak menawan bandar utama berdekatan, Zawiya.
Bunyi tembakan meriam dan pertempuran bersenjata jelas kedengaran malam tadi di hotel yang dihuni oleh wartawan asing di Tripoli.
Pesawat udara NATO melancarkan beberapa serangan bom selepas senja, dan bunyi letupan kuat bergema di seluruh ibu negara ini.
“Kami merancang operasi ini bersama-sama NATO, sekutu Arab kami dan pejuang kami di Tripoli dan komander di Benghazi,” kata Mustafa.
Katanya, mereka memilih untuk melancarkan serangan ke atas Tripoli pada bulan Ramadan, sempena Perang Badar yang juga berlaku pada bulan mulia ini.
Beberapa jam selepas pemberontak mendakwa telah menyerang Tripoli, televisyen kerajaan menyiarkan perutusan suara yang didakwa secara langsung daripada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Pemimpin Libya itu mengutuk pemberontak dan menyifatkan mereka sebagai pengkhianat dan ‘haiwan perosak’ yang menghancurkan Libya.
“Rakyat Libya mahu mengecapi Ramadan dengan aman, sebaliknya mereka terpaksa menjadi pelarian tidak ubah seperti rakyat Palestin,” kata Gaddafi.
Jurucakap kerajaan, Moussa Ibrahim muncul di televisyen untuk menafikan pemberontakan mula dilancarkan di Tripoli, tetapi beliau mengakui terdapat aktiviti luar biasa di ibu negara.
Dakwaan kedua-dua pihak tidak dapat disahkan, tetapi jika benar pemberontak menyerang Tripoli, serangan itu adalah yang pertama sejak pemberontakan dilancarkan enam bulan lalu. – Agensi, utusan

No comments: