Pages

Monday, August 22, 2011

Kuih tat keju blueberry berulat

Syarikat dari Shah Alam tak bekerjasama, tuduh pengguna reka cerita
KUALA LUMPUR: Dalam kesibukan umat Islam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, ada syarikat mengambil kesempatan dengan menjual kuih raya yang sudah berulat walaupun tarikh luput dinyatakan hanya berakhir dalam tempoh sembilan bulan lagi. 

Ini terbukti apabila seorang kakitangan kerajaan yang membeli kuih raya keluaran syarikat dari Shah Alam yang dijual di sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn di sini, Ahad lalu mendapati ia sudah berulat.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Sham berkata, kuih tart keju blueberry itu dibeli dengan harga RM19 satu bekas dan hanya dimakannya dan suami pada keesokan.
“Sebaik masuk waktu berbuka puasa, saya terus mengambil kuih itu untuk dimakan bagaimanapun, belum habis sebiji kuih dinikmati, entah bagaimana saya ternampak beberapa ekor ulat di dalam kuih berkenaan,” katanya ketika ditemui Sentral. 

Terkejut dengan kejadian itu, beliau kemudian meneliti bekas kuih berkenaan dengan lebih teliti dan mendapati ada beberapa ekor ulat ‘bersembunyi’ di dalam kuih dihasilkan syarikat terbabit. 

“Apabila dilihat lebih dekat, saya mendapati ada beberapa kesan hitam di bahagian dalam bekas berkenaan, sama seperti kesan kotoran yang biasa ditinggalkan serangga seperti lipas,” katanya. 

Bagi mempertahankan hak beliau sebagai seorang pengguna, Sham kemudian mengadukan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), sebelum diminta memaklumkan hal itu kepada syarikat pengeluar kuih berkenaan. 
Apa yang dikesalkan, kakitangan syarikat itu bukan saja tidak mahu memberi kerjasama sebaik dimaklumkan mengenai penemuan ulat di dalam kuih dibeli, malah menuduh beliau sengaja mereka-reka cerita untuk memburukkan jenama itu. 

“Sebagai pengguna, saya berasa begitu teraniaya. Meskipun kuih berkenaan hanya berharga RM19, tetapi syarikat itu sepatutnya mengambil tindakan lebih bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu ini termasuk memeriksa terlebih dulu sebarang aduan daripada pengguna,” katanya. -bharian

No comments: