Pages

Monday, August 22, 2011

Polis buru dua lelaki samun barang kemas, wang tunai




Lakaran wajah suspek kes samun bersenjata.


PADANG BESAR 21 Ogos – Polis sedang memburu dua lelaki yang menyamun barang berharga dan wang tunai kesemuanya bernilai RM7,000 milik seorang ahli perniagaan dan isterinya di Jalan Padang Besar-Wang Kelian di sini kelmarin.
Kejadian tersebut berlaku ketika pasangan warganegara jiran itu menaiki kereta Toyota Camry dalam perjalanan dari Wang Kelian ke Kaki Bukit kira-kira pukul 7.20 malam.
Kenderaan mereka tiba-tiba dihimpit sebuah kereta sehingga memaksa ahli perniagaan itu memberhentikan kenderaannya sebelum disamun.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Che Man Md. Deros memberitahu, mangsa memberhentikan keretanya untuk melihat kerosakan yang dialami tetapi sebaik sahaja keluar daripada kenderaan, dua suspek keluar sambil mengacukan parang.
“Salah seorang daripada suspek kemudian merampas beg tangan mengandungi wang tunai RM7,000, empat telefon bimbit dan dokumen.
“Selepas itu, mangsa diarahkan keluar daripada kereta mereka dan suspek kemudian turut melarikan kenderaan mangsa,” kata beliau pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Che Man, dalam kejadian itu, isteri ahli perniagaan tersebut mengalami kecederaan ringan di jari kanan dan menerima rawatan pesakit luar.
Katanya, kereta milik mangsa kemudian ditemui kira-kira 100 meter dari jalan raya di Kampung Semadong dekat sini.
Berikutan itu, polis sedang memburu kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 20-an dan 30-an.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu, Inspektor Fairul Azmi Abdillah di talian 013-5189882 atau Bilik Gerakan IPD Padang Besar di 04-9491481 atau mana-mana balai polis berhampiran.utusan

No comments: