Pages

Tuesday, August 16, 2011

Pelarian Somalia dipindah ke kompleks baru




Gambar yang diambil pada 5 Ogos lalu merakamkan khemah-khemah pelarian Somalia penuh sesak di Dadaab, timur Kenya, 100 kilometer dari sempadan Somalia. - Agensi


DADAAB 15 Ogos - Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) akan mula memindahkan pelarian Somalia ke kawasan baru di kompleks pelarian sesak Dadaab, Kenya.
Tapak baru yang dikenali sebagai Kambioos itu berhampiran dengan kem Hagadera, satu daripada tiga kem pelarian di Dadaab.
Lebih 70,000 rakyat Somalia yang melarikan diri akibat kemarau, kebuluran dan konflik di negara mereka tiba di kem Dadaab, Kenya sejak dua bulan lalu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pelarian di kem itu meningkat kepada kira-kira 440,000 orang.
Angka itu terus meningkat ekoran jumlah pelarian yang terus bertambah setiap hari menyebabkan keadaan kelam kabut di kem penuh sesak itu semakin buruk.
Ketika dibina 20 tahun lalu, Dadaab direka untuk kapasiti 90,000 orang sahaja, tetapi sejak itu ia menjadi kem pelarian terbesar di dunia daripada segi jumlah pelarian.
Jurucakap UNHCR, Adrian Edwards berkata, kem itu telah menjadi sangat sesak dan tidak boleh menampung tambahan pelarian, menyebabkan pelarian baru terpaksa tinggal dalam keadaan yang kotor di kem-kem sementara.
Menurutnya, agensi pelarian UNHCR sedang berusaha mengurangkan masalah ini dengan memindahkan kumpulan pertama melibatkan beberapa ribu pelarian Somalia ke kawasan baru yang dirancang boleh menampung 90,000 orang.
"Pembinaan khemah dan kemudahan infrastruktur sedang dijalankan dan ia akan menyediakan lebih banyak tempat perlindungan serta perkhidmatan.
"Kami menjangkakan akan menerima purata 1,500 pelarian setiap hari dan selain makanan dan minuman, pelarian baru ini amat memerlukan tempat tinggal, rawatan serta bantuan asas lain," katanya.
Edwards berkata, UNHCR telah membawa beribu-ribu khemah ke Dadaab sepanjang krisis terbaru ini, tetapi ia masih tidak mencukupi. - AGENSI-utusan

No comments: