Pages

Tuesday, August 16, 2011

Presiden Argentina bolot 50 peratus undi




Cristina Fernandez melambaikan tangan kepada para penyokongnya selepas menerima keputusan pertama pilihan raya Presiden Argentina di Buenos Aires, kelmarin. - REUTERS


BUENOS AIRES 15 Ogos - Presiden Argentina, Cristina Fernandez membolot 50 peratus undi pada pengundian pertama Presiden semalam, meletakkan beliau di landasan yang betul untuk memenangi pilihan raya pada Oktober ini dan seterusnya mengukuhkan dasar campur tangan kerajaan dalam ekonomi negara.
Fernandez yang berhaluan tengah-kiri itu memiliki kelebihan 38 peratus undi berbanding pencabar terdekatnya, anggota Kongres pembangkang, Ricardo Alfonsin yang hanya meraih 12 peratus undi, setelah keputusan diterima daripada 61 peratus pusat pengundian.
Pemilihan awal itu sebenarnya menjadi tinjauan pendapat umum di seluruh negara kerana semua parti terlibat sudah pun memilih calon masing-masing dan pengundi boleh mengundi calon mana-mana parti.
Keputusan itu menunjukkan Fernandez tidak menghadapi persaingan kuat menjelang pilihan raya Presiden pada 23 Oktober ini dan dijangka memenangi pengundian pada pusingan pertama.
Di ibu pejabat kem Fernandez, penyokong mengibarkan bendera gerakan belia pimpinan anak lelakinya dan menjulang gambar mendiang suami beliau yang juga Presiden sebelum ini, Nestor Kirchner dan imej ikon revolusi kelahiran Argentina, Ernesto 'Che' Guevara.
"Saya berada di sini sebagai soldadu Nestor Kirchner kerana beliau membuka lembaran baru dalam sejarah dan Cristina meneruskan haluan pemikiran dan usaha mendiang," kata seorang penyokong, Jorge Robledo, 70 yang meraikan kemenangan itu di luar sebuah hotel di Buenos Aires.
Kirchner yang meninggal dunia pada tahun lepas dan Fernandez mendapat sanjungan penyokong kerana memulihkan kemakmuran di Argentina berikutan krisis kewangan teruk pada 2001 dan 2002 yang menyebabkan negara pengeluar utama bijirin ini gagal membayar hutangnya.
Fernandez berkata, jika beliau memenangi penggal kedua, beliau akan menggunakannya untuk meneruskan dasar-dasar mendiang suaminya, yang menekankan penggantian import dan pemberian subsidi untuk golongan miskin.
Walaupun jauh mendahului calon lain, Fernandez membangkitkan kemarahan petani dan pengeksport bijirin dengan dasar campur tangan yang bertujuan untuk mengukuhkan peranan kerajaan dalam ekonomi Argentina, ekonomi ketiga terbesar di Amerika Latin.
Wall Street mengkritik Fernandez, 58 kerana mengenakan kawalan harga, menggunakan rizab bank pusat untuk membayar hutang dan menyiarkan data inflasi yang jauh lebih rendah daripada kadar yang dianggarkan oleh pakar ekonomi swasta melebihi 25 peratus setahun. - Reuters, utusan

No comments: